Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette Undi 18 delay Election Commission EC
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengenakan suntikan dos ketiga vaksin Pfizer BioNTech namun setakat ini masih belum ada sebarang data lagi mengenai keperluannya.

“Bagi dos ketiga, kita belum tahu lagi sebab itu hanya pandangan pihak Pfizer, mungkin perlu ada booster dos ketiga,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Namun menurutnya Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan merancang untuk tempoh jangka panjang jika ada kemungkinan vaksin itu diperlukan untuk tahun-tahun akan datang.

“Kita belum tahu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pengarah Operasi Pfizer, Albert Bourla, berkata, penerima dok kedua vaksin itu mungkin memerlukan suntikan dos ketiga dalam tempoh setahun selepas menjalani inokulasi.

Menurut Albert, vaksinasi tahunan itu diperlukan untuk melawan Covid-19.

Syarikat itu pada awal bulan ini menerbitkan satu kajian mengatakan suntikan vaksin itu berkesan sehingga 91 peratus untuk melindungi penerimanya daripada virus.

Ia juga 95 peratus berkesan dalam mengatasi komplikasi teruk akibat Covid-19 sehingga enam bulan selepas suntikan kedua dilakukan, namun memerlukan kajian lebih lanjut.

Sementara itu itu, Khairy berkata, lebih setengah juta para guru sedang disenaraikan untuk menerima vaksin bagi fasa dua tidak lama lagi.

Ia sebagai persediaan bagi membolehkan golongan itu dapat diberikan vaksin bagi fasa dua ini.

Malah beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia juga sedang menyenaraikan nama guru-guru berkenaan untuk dimasukkan dalam sistem agihan vaksin sebelum diberikan tarikh janji temu.

“Sebelum ini, JJKJAV memutuskan supaya guru disenaraikan sama untuk menerima vaksin seperti tiga kumpulan lain bagi fasa dua ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek risiko penyebaran jangkitan Covid-19 khususnya di sekolah. Bagaimanapun, ia (pemberian vaksin) masih juga tertakluk kepada bekalan vaksin yang diterima negara,” katanya.

Untuk rekod, seramai 11,902 daripada 54,537 guru yang mempunyai penyakit kronik sudah menerima suntikan dos pertama manakala, selebihnya akan diberi suntikan bulan ini.

Ditanya mengenai pemberian vaksin kepada pengamal media, Khairy berkata, kumpulan pertama pengamal media dijangka diberikan suntikan itu pada Mei depan.

Ini menurut beliau, kerajaan masih menumpukan agihan vaksin kepada tiga kelompok utama iaitu warga emas, pesakit kronik dan orang kelainan upaya.

“Kita cuba cari ruang pada Mei ini untuk memulakan agihan vaksin kepada pengamal media.

“Apa yang saya boleh janjikan, apabila kita sudah ada bekalan vaksin yang cukup terutama bermula Mei dan Jun ke atas, kita akan beri keutamaan itu kepada pengamal media seperti yang dijanjikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.