PETALING JAYA – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berharap lebih ramai akan mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua yang bermula hari ini.
Katanya, masyarakat mempunyai kemudahan-kemudahan tertentu yang telah disediakan untuk mendaftarkan sebagai penerima vaksin berkenaan.
“Hari ini hari pertama pelaksanaan vaksinasi fasa kedua jadi kita jemput seramai mungkin orang di luar sana, ada juga program pendaftaran menerusi pusat khidmat masing-masing untuk menggunakan tiga cara utama untuk mendaftarkan diri
“Pertama menerusi aplikasi MySejahtera, kedua laman web www.vaksincovid.com.my ketiga menelefon 1800-888-828,” katanya ringkas ketika sidang media perasmian Kedai Online Shopee Keadilan di Ibu Pejabat parti itu di sini, hari ini.
PICK fasa kedua akan mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dilaporkan sudah memohon supaya petugas media turut diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin pada fasa ini. – MalaysiaGazette