KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi penjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu yang berakhir pada 16 April lalu dengan aliran keluar sebanyak RM235.26 juta, lebih tinggi berbanding dua minggu yang lalu.
Ketika pasaran dibuka semula Isnin lalu, pelabur asing menjual RM48.67 juta bersih ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing sebagai pembeli dan penjual bersih bernilai RM60.81 juta dan RM12.41 juta.
MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya berkata, pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari kecuali pada hari Khamis.
Aliran keluar asing terbesar direkodkan pada hari Selasa iaitu RM39.0 juta dan aliran keluar terkecil pada hari Jumaat RM50.89 juta.
Satu-satunya aliran masuk yang dicatatkan pada hari Khamis iaitu sebanyak RM78.58 juta, kata firma penyelidikan itu.
Pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari kecuali pada hari Khamis dan Jumaat.
Menurut MIDF Research, pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatat pada hari Isnin sebanyak RM60.81 juta dan dan belian terkecil pada hari Selasa kepada RM35.00 juta.
Secara kumulatif, untuk minggu ini, pelabur runcit membeli ekuiti bernilai RM97.82 juta di Bursa Malaysia.
Sementara itu, aliran masuk kumulatif mingguan pelabur institusi tempatan berjumlah RM137.45 juta.
Pembelian bersih terbesar adalah pada hari Selasa kepada RM126.52 juta sementara belian bersih terkecil pada hari Rabu kepada RM16.65 juta.
Jualan bersih terbesar berlaku pada hari Khamis iaitu sebanyak RM61.28 juta.
Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan pada jumlah RM5.50 bilion.
Manakala pelabur institusi dan pelabur asing merupakan penjual bersih, masing-masing sebanyak RM3.50 bilion dan RM2.00 bilion, kata MIDF Research lagi.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat kenaikan mingguan 7.53%, 19.43% dan 4.68% masing-masing dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette