KUALA LUMPUR  – Moody’s Investors Service mengunjurkan keluaran dalam negara kasar sebenar ekonomi G-20 meningkat 5.3 peratus secara kolektif pada tahun 2021, dengan dua ekonomi terbesar di dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China, masing-masing berkembang pada 4.7 peratus dan 7.5 peratus.

Memetik laporan terkini Moody’s, Pegawai Kredit dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Clara Lau berkata trend kredit korporat yang stabil di Asia-Pasifik turut disokong oleh dasar fiskal dan monetari yang menyokong berterusan keseluruhan ekonomi maju yang besar pada tahun 2021.

Langkah-langkah ini membantu menyediakan mudah tunai pasaran yang stabil, sekali gus membolehkan akses dana untuk syarikat.

“Namun, rentak pemulihan ekonomi mungkin tidak sekata untuk negara-negara ini, bergantung sepenuhnya kepada pengurusan pandemik masing-masing,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Semakin cepat negara vaksinasi penduduknya dan membendung penularan serta mampu mengelakkan sebarang sekatan pergerakan – semakin cepat aktiviti ekonomi akan pulih.

Lau berkata kebimbangan terhadap virus dan mutasinya menimbulkan ketidakpastian dari segi mengekalkan pemulihan ekonomi yang berterusan.

Permintaan akan terus lemah sekiranya tempoh pemulihan berlanjutan dan ini akan meningkatkan risiko kegagalan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sementara sokongan fiskal yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk mendorong pertumbuhan ekonomi boleh mencetuskan tekanan inflasi.

“Trend kredit Asia Pasifik akan terus stabil tahun ini, disokong oleh pemulihan ekonomi China yang kukuh.

“Pada akhir suku pertama 2021, penguasaan penarafan dengan prospek stabil dalam portfolio korporat Asia Pasifik meningkat kepada 78 peratus daripada 72 peratus pada suku sebelumnya dan ia merupakan paras tertinggi sejak akhir 2019,” kata beliau.

Selain itu, Lau berkata permintaan perkhidmatan juga telah kembali pulih secara beransur-ansur dengan program vaksinasi telah membantu mengekang pandemik dengan lebih baik yang membolehkan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial dikuatkuasakan secara berperingkat.

“Bagaimanapun, pemulihan untuk sektor berintesif kontak/hubungan seperti perjalanan, perhotelan dan permainan kekal lesu tahun ini berikutan penguatkuasaan sekatan pergerakan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast