Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak membelakangkan semua barisan Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC) dengan membuat keputusan sesuka hatinya.

Hujah Sithambaram, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak ubah seperti ‘Tok Dalang’ yang mempergunakan semua lembaga pengarah SRC sebagai boneka dalam mengawal perjalanan syarikat berkenaan.

Jelas Sithambaram lagi, Najib cukup berkuasa kerana ketika itu bukan sahaja memegang jawatan Perdana Menteri tetapi juga Menteri Kewangan (MOF) dan Penasihat SRC yang merupakan entiti penuh Kementeri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

“Najib urus syarikat itu dengan memberi kata putus pelantikan peguam dan juruaudit juga bank mana yang mengendalikan akaun syarikat, walhal semua ini dilaksanakan oleh pengarah syarikat.

“Beliau telah bertindak memanfaatkan pengaruh besarnya terhadap SRC semata-mata demi kepentingan peribadinya dan bukan untuk syarikat itu.

“Peranan beliau menjadi apabila adanya secara rasmi jawatan Penasihat Emeritus untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam SRC dan membolehkan beliau memberi arahan terus kepada Lembaga Pengarah SRC seperti tuan mereka,” hujahnya.

Beliau berkata demikian ketika prosiding rayuan SRC yang memasuki hari ke-9 di hadapan tiga panel hakim, diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.

Jelas Sithambaram, tindak tanduk Najib yang mengeluarkan arahan pemegang saham mampu memberi pandangan bagaimana Najib mengawal serta berkuasa mutlak manakala Lembaga Pengarahnya pula umpama ‘boneka’.

“Najib sendiri letak BOD SRC dan lantik anggota Lembaga Pengarah SRC, maka semua tidak dapat bergerak atau buat keputusan tanpa arahan Najib ketika itu,” hujahnya.

Dalam pada itu, kata Sithambaram, hakikatnya penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali tepat bahawa pengarah SRC perlu mengikut arahan pemegang taruh kerana Najib mempunyai pengaruh malah kawalan ‘keterlaluan’ dalam SRC.

“Najib mempunyai kawalan penuh ke atas SRC kerana ada bukti jelas beliau telah bertindak atas kapasiti peribadi bukannya dalam kapasiti prinsipal dengan menandatangani oleh beliau sendiri semua arahan pemegang taruh sebelum dilaksana Lembaga Pengarah,” ujarnya.

Prosiding masih bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bodoh punya peguam..hujah mcm budak2..ko kena buktikam simple jaa..wujud atau tidak arahan Najib utk pindahkan duit kedalam akaun dia? Tu jaa rakyat nak tahu …

  2. Ini ke jenis bukti oleh pendakwaraya yang telah memenjarakan Najib puluhan tahun? Andaian2 sebergini laku ke dimahkamah di England sana?

  3. Najib patut buang peguambela shafie dan amik tokoh2 peguam yg komen di atas. Sure terlepas klu amik diorg dua.

Comments are closed.