JOHOR BAHRU – Sebuah pusat penjagaan bayi didakwa gagal membayar pampasan sebanyak RM45,000 kepada ibu bapa kepada bayi yang melecur terkena air panas akibat kecuaian kakitangannya.
Ibu kepada bayi berkenaan, Tan Xin Ping, 25, mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah pusat penjagaan bayi di Taman Sentosa di sini pada 26 oktober tahun lalu.
Susulan kejadian itu, pihak pengurusan pusat jagaan itu mengakui kesilapan mereka dan berjanji untuk membayar pampasan RM45,000 selama setahun secara ansuran.
Xin Pin berkata, mereka juga berjanji akan membayar balik caj pakej berpantang serta bil hospital sebanyak RM4,000.
“Mereka ajak berbincang dengan saya dan suami (Oon Yew Hao, 32) untuk selesaikan cara baik supaya tidak memanjangkan kes.
“Kami bersetuju dengan cadangan mereka untuk membayar pampasan sebanyak RM3,000 sebulan selama setahun tetapi kami terima bayaran hanya sebulan dan refund dan bil hospital sebanyak RM11,733,” katanya.
Namun pasangan suami isteri itu kesal apabila pusat jagaan itu memberi seribu alasan untuk mengelak daripada melunaskan janji yang sudah dibuat termasuk perjanjian bertulis.
“Selepas saya buat siasatan sendiri dan rujukan melalui media sosial Facebook, saya dapati bukan saya sahaja mengalami malah ada seorang ibu turut melahirkan rasa tidak berpuas hati.
“Ada seorang ibu itu cakap mereka (pengasuh) melakukan kerja-kerja jaga bayi dengan cara yang kasar,” dakwanya.
Semasa kejadian tahun lepas, Xin Ping mendakwa bayinya baru berusia 26 hari melecur tahap kedua pada bahagian belakang badan akibat kecuaian kakitangan sebuah pusat penjagaan bayi berkenaan.
Ketika itu dia mengambil pakej berpantang di pusat jagaan itu ketika bayi sulung yang baru dilahirkan pada 26 Oktober tahun lalu.
Katanya, ketika kejadian dia berada di sebuah bilik di pusat jagaan itu sebelum dia dimaklumkan seorang pengasuh bayi lelakinya melecur pada bahagian belakang.
“Pakej berpantang disitu selama 30 hari di pusat jagaan itu dengan harga RM7,733. Masuk hari ke-26, saya berada di bilik dan seorang pengasuh datang beri tahu anak saya melecur pada bahagian belakang.
“Bila saya tanya dia cakap tidak tahu, saya terus hubungi suami dan kami terus bawa ke hospital swasta untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pejabat MCA, Pasir Gudang hari ini.
Xin Ping berkata, hasil rawatan hospital memaklumkan bayinya melecur akibat terkena air panas dan pihak hospital turut mencadangkan supaya membuat satu laporan polis.
Ekoran itu,beliau membuat satu laporan polis berhubung kecuaian pusat jagaan itu di Balai Polis Larkin pada pukul 8.57 malam hari sama kejadian (21 November 2020).
“Saya terkejut dan kecewa selepas dua jam anak saya kena baru mereka beritahu, masa itu bayi saya tiada suara untuk menangis,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, pihaknya memohon pihak pengurusan pusat jagaan berkenaan tampil memohon maaf atas insiden yang berlaku.
Selain itu, pusat jagaan juga diminta bertanggunjawab atas kecuaian yang berlaku serta mempertingkatkan prosuder operasi standard cara kerja kakitangannya agar kes sama berulang.
“Selepas kita buat semakan mendapati premis itu memiliki lesen perniagaan namun tidak pasti sama ada berdaftar atau tidak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” kata Thow Siang.- MalaysiaGazette