Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Prosiding hari kesembilan rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan Datuk Seri Najib Razak akan bermula sebentar lagi.

Bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan di sini sekitar jam 8.50 pagi, lengkap berpakaian kemas berwarna biru dan sempat senyum kepada para jurugambar dan video yang sudah menanti lebih awal di lobi.

Pasukan pendakwaan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram dijangka berhujah melibatkan kes pecah amanah (CBT) di hadapan tiga panel hakim, diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Khamis lepas, Sithambaram ada berhujah hampir kesemua RM4 bilion yang dilaburkan SRC International ke dalam beberapa entiti tertentu, langsung tidak mendatangkan hasil.

Sebaliknya, kata Sithambaram atas kertas cadangan, ia kelihatan bagus, tentang usaha untuk meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui.

Hujah beliau, SRC hanya memulakan perniagaan dengan memindahkan wang berkenaan dalam bentuk simpanan tetap ke Switzerland selepas KWAP mengeluarkan pinjaman itu pada 2011 dan 2012.

Hakim Abdul Karim turut membuat kenyataan bahawa penubuhan syarikat terbabit hanyalah satu penyamaran bagi melindungi niat yang sebenar yang dipersetujui oleh Sithambaram.

Sithambaram turut menyatakan tiada sebarang bukti atau dokumen dikemukakan untuk menunjukkan bahawa kesemua dana yang diperolehi daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah dilaburkan sewajarnya sebagaimana dinyatakan dalam dokumen penubuhan syarikat tersebut.

Prosiding akan bersambung dengan Sithambaram mengemukakan hujahnya.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.  -MalaysiaGazette