Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehudin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan

KUANTAN – Sebanyak 75 peratus penduduk Pahang, atau kira 1.2 juta individu, yang masih belum membuat pendaftaran vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah rakyat Pahang yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masih berada pada tahap rendah yang mana hanya 25 peratus sahaja mendaftar.

Warga emas antara 1820 penerima vaksin bagi fasa kedua membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan akhir

Tambahnya, kira-kira 360,000 penduduk mendaftar melalui aplikasi MySejahtera manakala 270,000 individu mendaftar menerusi Sistem Imunasi Covid-19 Pahang (SICP) yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.

“Faktor geografi serta sikap tunggu dan lihat dipercayai menjadi punca pendaftaran vaksin Covid-19 di negeri ini masih rendah biarpun pelbagai usaha sudah dilaksanakan kerajaan.

“Bilangan pendaftaran ini masih rendah berbanding sasaran 80 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini.

“Berita palsu mengenai suntikan vaksin ini yang tular di kalangan masyarakat dipercayai menjadi punca ramai yang belum mendaftar,” katanya pada  sidang media di Wisma Belia Kuantan Kuantan sempena Program Imunisasi Covid-19 Fasa Kedua Peringkat Negeri Pahang, petang semalam.

Menteri besar pahang membuat tinjau di Dewan Wisma Belia sempena Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Pahang

Bagaimanapun, menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri akan mempergiatkan kempen pendaftaran vaksin Covid-19 bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Terdahulu, antara inisiatif yang diambil kerajaan Pahang bagi menarik orang ramai mendaftar menerusi Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP)ialah dengan mengadakan cabutan bertuah.

Cabutan bertuah menawarkan hadiah baucar bernilai RM1,000 bagi setiap pendaftar ke-50,000 dan 100,000 dan baucar itu boleh ditebus di dua pasaraya di Pasaraya Darul Makmur dan Tunas Manja.

Penerima vaksin fasa kedua melibatkan 360,000 penduduk Pahang dan dijangka selesai sebelum Hari Raya Aidilfitri, manakala fasa ketiga dan terakhir pula melibatkan 700,000 orang berumur 18 tahun dan ke atas. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast