Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Isu air di Kelantan kian bertambah baik selepas beberapa fasa menaik taraf perkhidmatan sumber utama kehidupan itu dilakukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan berkata, inisiatif tersebut turut diambil oleh operator air Kelantan, Air Kelantan Sdn Bhd apabila membina Loji Rawatan air (LRA) Kampung Telok, Kota Bharu, dengan anggaran pembekalan sebanyak 30 juta liter air sehari kepada rakyat di negeri berkenaan.

Menurut beliau, beberapa fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Usaha murni kerajaan Kelantan perlu diteruskan tanpa diganggu-gugat oleh suara-suara sumbang pembangkang di Kelantan yang kehabisan modal untuk mendendangkan isu air Kelantan.

“Selaku ahli SPAN, saya optimis bahawa air di Kelantan kian bertambah baik. Beberapa fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Langkah-langkah yang diambil ini bersifat secara keseluruhan dengan menyelesaikan isu pengurusan dan infrastruktur air untuk menampung keperluan bekalan air di Kelantan untuk tempoh terdekat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Shahir lagi, isu air di Kelantan terus didendangkan oleh sesetengah pihak bertujuan untuk memburukkan nama kerajaan negeri.

Selesai isu air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), kini isu gali perigi atau “boring” dimainkan pula, katanya.

Tambah beliau, berlegar-legar surat “Arahan Pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019” dengan beberapa komen tidak betul berkenaan kerajaan Negeri Kelantan.

“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, sumber air diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Maka, kerajaan negeri perlu memastikan sumber air mencukupi untuk tujuan bekalan air, pertanian, perindustrian komersil, dan alam sekitar.

“Atas dasar tanggungjawab ini, maka kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan arahan pematuhan kepada Seksyen 12, bertujuan untuk melindungi sumber air untuk rakyat,” ujarnya.

Shahir menjelaskan, enakmen itu tidak terpakai kepada rakyat Kelantan untuk tujuan menggali perigi bagi penggunaan domestik atau kegunaan sendiri, iaitu pengeluaran air kurang daripada 2,500 liter sehari.

“Maka, sesiapa pun di Kelantan tidak perlu mendapatkan lesen jika untuk kegunaan domestik.

“Tujuan sebenar lesen kepada Enakmen Sumber Air adalah untuk mengawal kegiatan komersil agar syarikat-syarikat besar atau kilang-kilang tidak memanipulasi sumber air Kelantan bagi keuntungan sendiri,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast