Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Satu badan siasatan bebas perlu segera ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat kadar pemerolehan vaksin yang rendah di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu bagi memastikan mengapa hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19.

“Saya menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu. Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Anwar, langkah ini tidak sama dengan beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan yang telah berusaha sendiri untuk memperolehi bekalan vaksin yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagai respon terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini.

“Usaha mereka bagaimanapun tergantung lantaran sering dilengahkan oleh Kementerian yang terbabit.

“Kelengahan yang mereka hadapi bakal mengundang padah. Dalam Kesatuan Eropah, apabila kadar vaksinasi rendah di tahap 3%, desakan bertubi-tubi daripada rakyat telah cukup untuk mempercepat kadarnya kepada 17.8% dalam masa sebulan.

“Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru juga bertungkus-lumus mencari jalan buat meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Presiden PKR itu berkata, kerajaan Negeri Selangor sendiri berdepan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pemerolehan vaksin bagi diberikan kepada rakyat negeri itu.

“Kerajaan negeri Selangor misalannya, terpaksa menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan dua juta dos buat rakyat Selangor.

“Kerajaan negeri Sarawak turut menghadapi nasib yang sama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan. Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali,” soal beliau.

Justeru itu, Anwar mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan mana-mana kerajaan negeri untuk memperoleh bekalan vaksin masing-masing tanpa perlu bergantung kepada usaha kerajaan pusat.

“Vaksin Sinopharm dijangka tiba pada bulan Mei nanti, namun sehingga bulan Mac kita masih belum pasti sama ada kelulusan telah diberikan, sekaligus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian.

“Matlamat kerajaan pusat sayugianya adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin. Namun demikian, kerajaan pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa Malaysia ketinggalan dalam jadual pemberian vaksin Covid-19.

Menurut beliau, pemberian vaksin untuk rakyat negara ini mengikut jadual tertentu dan fasa-fasa yang telah direncanakan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa parti-parti tidak buka pondok pendaftaran Covid, jangan asyik nak buka pondok tambah ahli.

Comments are closed.