KUALA LUMPUR – Bina Puri Holdings Bhd berjaya meraih projek pembinaan Kompleks Mahkamah Agung yang terletak di Ramshahpath, Kathmandu, Nepal bernilai Nepalese Rupee NRs. 5.2billion (bersamaan kira-kira RM183 million).
Projek ini dibiaya sepenuhnya oleh Kerajaan Nepal.
Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Bina Puri memaklumkan telah menandatangani perjanjian usaha sama bersama dengan Kalika Construction Pvt Ltd dan Samanantar Nirman Sewa Pvt Ltd untuk membentuk "Bina Puri – Kalika – Samanantar JV" bagi melaksanakan projek tersebut.
Projek tersebut telah dianugerahkan oleh Mahkamah Agung Nepal dengan tempoh pelaksanaan kerja selama 36 bulan.
Kerja-kerja pembinaan tersebut bagi membina sebuah kompleks mahkamah baru setinggi tujuh tingkat yang mengandungi dua buah ruang bawah tanah, bangunanan struktur berangka dengan kemasan yang lengkap, kerja landskap, kerja-kerja mekanikal, paip dan elektrik termasuk alatan memadam api.
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Matthew Tee berkata, dengan anugerah kontrak terbaharu ini jumlah projek pembinaan bagi kumpulan ini meningkat ke RM1.9 bilion
Kalika Construction Pvt Ltd adalah sebuah syarikat pembinaan kelas A di Nepal yang terkenal dan berpengalaman lebih daripada 40 tahun dalam semua jenis kerja pembinaan.
Ia ditubuhkan pada tahun 1976 dan syarikat induknya, Kalika Group beroperasi dalam lima sektor perniagaan: Tenaga Hidro, Pembinaan, Penyumberan Luar Perisian, Perdagangan Antarabangsa dan Radio/Media FM. Kalika Group
adalah salah satu konglomerat perniagaan terbesar dan dihormati di Nepal.
Manakala Samanantar Nirman Sewa Pvt. Ltd. ditubuhkan pada tahun 1993 dan kini merupakan salah satu syarikat pembinaan Nepal yang sedang berkembang dan paling terkenal dengan berjaya menyampaikan pelbagai projek untuk sektor kerajaan dan lain-lain. – MalaysiaGazette