KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu bagi pihak peniaga dan penjaja kecil kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agarĀ mempertimbangkan semula keputusan tidak membenarkan penjaja kecil menjual juadah berbuka puasa di tepi rumah atau kawasan perumahan, pasar malam, pasar mingguan dan tamu beroperasi sepanjang bulan puasa ini.
Timbalan Pengerusi DPMS, Darul Nazli Dahalan berkata, pihaknya memahami keputusan DBKK tersebut susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan Kota Kinabalu.
Namun, peniaga kecil seperti penjaja dan penjual di tepi rumah misalnya boleh dibenarkan berniaga sepanjang bulan puasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan mewajibkan semua penjaja menyediakan MySejatera dan alat imbas suhu.
“Kita harus memberi peluang penjaja kecil untuk mencari rezeki sepanjang bulan puasa”.
“Penjaja kecil tiada sumber pendapatan lain yang boleh membantu mereka menyara keluarga serta membeli sedikit kelengkapan diri dan keluarga untuk hari raya akan datang.
”Penjaja dan peniaga kecil tersebut biasanya menjual di tapak yang terbuka, yang mana risiko jangkitan adalah kurang berbanding keadaan premis tertutup.
“Malah, jika dilihat pada keadaan sekarang, semua pusat beli-belah penuh sesak sehingga risiko jangkitan biasanya lebih tinggi di situ,” katanya.
Darul Nazli juga merayu kepada kerajaan negeri dan DBKK menyediakan satu lesen atau surat kelulusan kebenaran khas kepada penjaja atau peniaga kecil seperti penjual sayap ayam bakar, penjual burger dan penjual goreng pisang yang menumpang berniaga di kawasan kaki lima atau ruang legar restoran atau premis lain.
Dalam keadaan ekonomi mencabar ini, ramai kehilangan pekerjaan dan meneruskan hidup dengan berniaga secara menumpang di premis dan restoran besar.
Namun, DBKK tidak membenarkan mereka berniaga di situ dengan alasan mereka ini tiada lesen perniagaan yang sah dan mengelurkan kompaun kepada restoran atau premis tersebut sedangkan DBKK tidak menyediakan lesen khusus kepada mereka.
Sehubungan itu DPMS memohon jasa baik pihak kerajaan dan DBKK memberikan lesen penjaja khas untuk menumpang berniaga di hadapan premis besar seperti restoran setelah pemilik permis tersebut bersetuju membenarkan mereka menumpang berniaga di situ.
”Ini adalah cara terbaik bagi mengelakkan penjaja atau peniaga kecil membuka gerai atau stall di tepi tepi jalan secara haram yang mana membawa lebih banyak kemudaratan berbanding berniaga secara menumpang di premis tetap secara bersih, sihat dan selamat.
“Lagipun di mana lagi peniaga atau penjaja tersebut berjualan jika semua tempat tidak dibenarkan?,” soalnya yang mengakui DPMS menerima banyak keluhan para penjaja di pasar malam, pasar mingguan dan tamu agar DBKK membenarkan semula mereka meneruskan perniagaan mereka.
Para penjaja bersedia menerima SOP yang ketat serta kawalan jumlah pengunjung demi mereka memperolehi sedikit sebanyak pendapatan untuk membayar hutang serta pinjaman, menampung keperluan harian dan persedian untuk hari raya.
Keputusan secara tiba-tiba itu menjejaskan pendapatan dan perancangan ramai peniaga kecil sehingga mereka masih tidak dapat menerima dan meminta DPMS membantu mereka.
Walaupun keputusan ini adalah langkah DBKK membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19, namun ianya memberikan kesan yang mendalam kepada peniaga kecil.
Oleh itu, Darul Nazli berharap DBKK dapat membantu para peniaga dan penjaja kecil dengan memberikan sedikit kelonggaran untuk mereka berniaga pada bulan ini dengan mematuhi semua SOP yang akan ditetapkan. – MalaysiaGazette