Pasangan Usahawan produk henna yang dipercayai memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang mengusahakan perniagaan berasaskan inai dihukum penjara sehari dan masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana memberi maklumat bertulis palsu kepada polis untuk merentas negeri pada bulan lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan suami, Azharique Shah Abdul Jalil, 23, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan penjara satu bulan sekiranya mereka gagal membayar jumlah denda itu. Kedua-duanya membayar jumlah denda tersebut.

Pasangan tersebut didakwa secara bersama-sama membuat permohohan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk merentas negeri ke Johor telah memberi maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai, Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Wangsa Maju di sini pukul 2 petang pada 15 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta 342.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan demi kepentingan awam, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran dengan mengambil kira perbuatan mereka boleh mendatangkan risiko kesihatan ketika pandemik Covid-19.

Ia berikutan ‘insta story’ yang dimuat naik oleh Iram Naz di laman Instagramnya mengandungi perkataan yang tidak patut ditulis sedangkan PKPB memberi kesan terhadap orang awam kerana tidak boleh merentas negeri.

“Ramai orang awam yang terkesan kerana tidak dapat merentas negeri. Walaupun kelonggaran diberi, namun perlu diguna bukan untuk tujuan lain, maka saya pohon ia diambil serius oleh semua pihak agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah untuk menimbang hukuman yang ringan dengan alasan perlu menyara keluarga.

Kata Iram Naz, tempahan di pusat peranginan tersebut dibuat pada Disember tahun lalu yang mana ketika itu PKPB belum dilaksanakan namun terpaksa diubah ke tarikh baharu disebabkan banjir.

Bagaimanapun pihak hotel enggan mengembalikan wang deposit miliknya dan dia telah menunda tarikh tersebut sempena ulang tahun perkahwinan pada 17 Mac.

“Kami memohon tidak dikenakan hukuman pemenjaraan dan menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu,” kata Iram Naz dalam nada sebak.

Ketika menjatuhkan hukuman, Chai Sia menyatakan bahawa tertuduh tidak seharusnya meneruskan perjalanan walaupun dengan alasan tempahan tidak dapat dibatal atau wang tidak dapat dikembalikan.

“Jika urusan pekerjaan, perlu dinyatakan secara jelas kepada pihak polis. Walaupun kamu ada alamat di sana, tetapi dalam insta story menunjukkan kamu berada di tempat lain,” katanya.

Pasangan suami isteri yang didakwa melakukan pergerakan rentas negeri untuk berbulan madu tular di laman sosial.

Sebelum ini, tindakan seorang usahawan muda bersama suaminya yang dipercayai merentas negeri semata-mata untuk berbulan madu tular di laman sosial.

Menerusi beberapa keping gambar dan klip video pendek di Twitter, wanita itu mendakwa dia sudah mendapat kebenaran pihak polis untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Bagaimanapun, rata-rata warganet tidak berpuas hati dengan tindakan wanita tersebut yang dianggap mementingkan diri selain mencetuskan pertikaian kerana menggunakan alasan rentas negeri untuk berbulan madu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast