KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah Malaysia terbukti agak mampan selepas mengalami perkembangan yang mendatar walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19 sejak 12 bulan lepas.
Timbalan Pengarah Urusan Jones Lang Wootton (JLW) iaitu syarikat penyedia penyelesaian hartanah bersepadu, Prem Kumar berkata, pandemik itu juga memberi impak dari segi mengetengahkan isu-isu pasaran yang perlu diutamakan oleh pemaju serta kerajaan.
“Ini termasuk isu lambakan atau lebihan bekalan membabitkan segmen ruang pejabat. Berikutan itu, pemaju komersial kini bertindak menghentikan sebarang pembangunan segmen berkenaan dan sebaliknya menumpukan produk lain yang berpotensi untuk dijual bagi mengelak timbulnya masalah (projek) gajah putih,” katanya dalam sesi meja bulat secara maya anjuran PropertyGuru Group di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) melaporkan penurunan sektor hartanah secara menyeluruh pada 2020, secara realitinya pasaran berada dalam aliran sedemikian sejak 2017/2018 akibat isu-isu berkaitan.
Menurut NAPIC, pasaran hartanah Malaysia merekodkan sebanyak 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion pada 2020 — masing-masing penurunan 9.9 peratus dan 15.8 peratus tahun ke tahun dari segi jumlah dan nilai berbanding 2019.
Prem berkata, pengurangan jumlah transaksi itu bagaimanapun tidak memaparkan sebarang petunjuk penting atau terdapat potensi berlakunya masalah lebih serius.
Malah, COVID-19 juga bukanlah satu-satunya punca keadaan pasaran hartanah yang lesu, tetapi lebih menjurus kepada faktor bekalan atau penawaran dan permintaan selain keadaan tumpuan pasaran yang menimbulkan masalah tersebut, katanya.
“COVID-19 misalnya telah membuka mata banyak pihak berkepentingan mengenai keupayaan pasaran menjadi ‘versatile’ (serba boleh) dan mampan.
“Oleh kerana pasaran hartanah itu dalam proses penyesuaian, ini juga dapat mewujudkan keadaan lebih stabil untuk pasaran berkenaan di masa depan,” katanya.
Sesi meja bulat itu dianjurkan bersempena acara PropertyGuru Asia Property Awards (Malaysia) 2021 yang akan diadakan pada 15 Sept, 2021.
Antara yang menarik ialah acara gala itu akan disiarkan menerusi saluran History Channel selaku rakan penyiar televisyen rasmi majlis anugerah tersebut, sekali gus memberi suntikan skop yang lebih antarabangsa.
Pada tahun lepas, acara gala majlis anugerah yang diadakan secara dalam talian dan pertama seumpamanya, ditonton lebih 516,000 kali dengan jangkauan penonton dan pelabur hartanah di lebih 75 negara. – MalaysiaGazette