KUALA LUMPUR – Maahad Tahfiz Al- Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 April hingga 4 Mei ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlaksanaan itu adalah berdasarkan penilaian risiko oleh pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.
Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan sebanyak 97 kes positif Covid-19 di maahad tersebut.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, Sarawak ditamatkan hari ini, tiga hari lebih awal daripada yang dijadualkan, berikutan penurunan kes dan kluster yang terkawal.
Tambahnya,, PKPD di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Sarawak pula akan ditamatkan pada 21 April 2021.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 532 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya 365 kes positif Covid-19 direkodkan.
“KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes, kluster adalah terkawal dan tiada lagi sampel menunggu keputusan manakala kes terakhir telah dilaporkan pada 16 April 2021 iaitu dua kes,” ujarnya. -MalaysiaGazette