Former Prime Minister Datuk Seri Najib Razak arrives at the Palace of Justice in Putrajaya for the proceeding of his appeal to strike off his conviction on the misappropriation of funds belonging to SRC International Sdn Bhd.  PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 19 APRIL 2021.
Datuk Seri Najib. foto: HAZROL ZAINAL 19 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Pendakwaan terus berhujah dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) yang membabitkan penyewelengan dana RM42 juta melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di  Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.

Bekas tiba di mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dalam keadaan tenang bagi pendengaran kes rayuan yang masuk hari ke-10 hari ini.

Pada kebiasaannya, Najib sampai 10 minit awal dan setiap kali prosiding berhenti rehat, beliau akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya sejam di perpustakaan selain menunaikan solat Zohor.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhujah Najib telah ‘mencuci tangan’ dalam isu SRC, malah tidak ada bukti menunjukan perayu (Najib) mengambil tindakan bagi melindungi syarikat itu.

Ini kerana walaupun berbilion ringgit telah disalurkan kepada syarikat itu oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), beliau tidak berbuat apa-apa, sebaliknya menyerahkan semua perkara kepada Lembaga Pengarah (BOD).

“Beliau tidak pernah menyatakan bahawa beliau telah mengambil tindakan untuk menyelamatkan SRC dan beliau juga tidak menyalahkan BOD kerana berkelakuan buruk

“Beliau hanya cuci tangan,” kata Sithambaram di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera semasa pendengaran rayuan semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC. 

Sithambaram turut mendakwa Najib bertindak membelakangkan semua barisan Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC) dengan membuat keputusan sesuka hatinya.

Hujah Sithambaram, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak ubah seperti ‘Tok Dalang’ yang mempergunakan semua lembaga pengarah SRC sebagai boneka dalam mengawal perjalanan syarikat berkenaan.

Jelas Sithambaram lagi, Najib cukup berkuasa kerana ketika itu bukan sahaja Perdana Menteri sebaliknya juga Menteri Kewangan (MOF) dan penasihat SRC yang merupakan entiti penuh Kementeri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). – MalaysiaGazette