Pekerja Swasta, Shahrulnizam Mohd Salleh, 42, bercakap kepada media ketika ditemubual mengenai arahan PDRM hanya benarkan rentas negeri hari isnin dan Khamis sahaja bendung peningkatan semula kes Covid di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Semua lapisan masyarakat tidak mengira status, termasuk ‘golongan kayangan’, perlu mematuhi ketetapan baharu untuk merentas negeri yang diumum Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka berpandapat pihak berekuyasa perlu tegas melaksanakan peraturan itu selain ia perlu diselaraskan.

Itu antara harapan  yang disuarakan pekerja swasta, Shahrulnizam Mohd Salleh, 42, berkenaan kebenaran merentas negeri yang dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis dengan enam tujuan.

Menurutnya, orang ramai perlu memberikan kerjasama terhadap penguatkuasaan peraturan baharu itu kerana ia dilaksanakan demi mengawal penularan wabak Covid-19.

Justeru ujarnya, tidak adil dan tidak wajar sekiranya berlaku penyalahgunaan permit merentas negeri hanya untuk kepentingan peribadi, seperti yang pernah tular baru-baru ini di media sosial.

“Kalau betul-betul nak buat undang-undang atau polisi baharu pastikan buat betul-betul bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sebab beberapa bulan yang lepas banyak syarat yang kita buat tapi kelihatannya kurang berjaya, kes meningkat walaupun vaksin sudah sampai. Kalau nak buat betul-betul dan ketat, barulah boleh kawal.

“Sekarang ini golongan kayangan tengah tular, jadi kalau nak laksanakannya kena kepada semua orang, dan semua rakyat pun tidak kiralah golongan kayangan atau biasa kena patuh dan beri kerjasama,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi hari ini.

Dalam masa sama tambah beliau, pihak berkuasa perlu tegas dan tidak mengambil sikap berkompromi dengan mana-mana golongan sekalipun sekiranya menguatkuasakan peraturan baharu ini.

“Ada kebaikan dan keburukannya, kebaikannya akan dapat mengurangkan penularan sebab bila lebih kurang rentas negeri lebih senang kawal wabak.

“Tapi sekarang ini musim perayaan, akan ramai yang memberontak untuk merentas negeri dan mungkin akan berlaku kelam kabut dan akan ramai yang melanggar peraturan dan susah untuk kawal yang memberontak ini.

“Musim-musim perayaan ini lagi kuat semangat orang untuk rentas negeri, penguatkuasa kena lebih tegas jangan terlalu longgar dan berlembut pada saya agak susah laksanakan perkara ini untuk kawal penyalahgunaan,” katanya lagi.

Suri Rumah, Laila Ismail, 48, bercakap kepada media ketika ditemubual mengenai arahan PDRM hanya benarkan rentas negeri hari isnin dan Khamis sahaja bendung peningkatan semula kes Covid di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 APRIL 2021.

Begitu juga dengan suri rumah, Laila Ismail, 48, yang berpendirian bahawa pelaksanaan peraturan oleh pihak polis khususnya berhubung ketetapan untuk merentas negeri perlu diselaraskan.

Ujarnya, ini kerana rakyat kini sedang memerhatikan setiap tindak tanduk dan menilai penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Bagi pendapat saya, kalau nak selaraskan peraturan kena selaraskan semua sekarang ini memang tidak selaraspun jadi harap kerajaan pertimbangkan kembali. Rakyat mula bosan.

“Kalau nak buat SOP, ketatkan, buat macam dulu, sekarang ini tidak guna tetapkan SOP sama juga ada juga salahguna.

“Jadi ketetapan rentas negeri Isnin hingga Khamis ini pada saya tidak perlu, kalau nak kena buat betul-betul,” katanya.

Sebaliknya bagi Laila, kerajaan sepatutnya memberikan kebenaran untuk rakyat berjumpa dengan keluarga dalam waktu tempoh tertentu sahaja.

“Bagi satu masa untuk rakyat berjumpa keluarga, sekarang ini kita kata tetapkan SOP tapi kebanyakan masih bebas, ambil surat rentas negeri salahgunakan, banyak terlepas pandang perkara ini, tidak adil,”ujarnya.

Untuk rekod, antara sebab yang akan diberikan kebenaran merentas negeri bermula Isnin hingga Khamis adalah tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh.

Pekerja Swasta, Irma Mahmud, 41, bercakap kepada media ketika ditemubual mengenai arahan PDRM hanya benarkan rentas negeri hari isnin dan Khamis sahaja bendung peningkatan semula kes Covid di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 APRIL 2021.

Mengulas lanjut suri rumah, Irma Mahmud, 41 berpandangan tidak adil untuk hanya membenarkan pasangan jarak jauh berjumpa namun sebaliknya untuk anak-anak bertemu ibu bapa.

Tambah beliau, waktu kebenaran juga agak merumitkan kerana pasangan jarak jauh terpaksa mengambil cuti selepas ini.

“Polis sepatutnya lebih fleksibel, sekarang ini ramai merungut tidak boleh balik lawat ibu bapa tapi pasangan jarak jauh boleh pula, suami isteri boleh tapi ibu bapa tidak boleh jumpa. Jadi patut ada kelonggaran.

“Isnin hingga Khamis semua orang bekerja kalau nak ada pelepasan pada hari itu sahaja mungkin ada kecemasan hari lain jadi tidak wajar,” menurutnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata angkah mengetatkan syarat permohonan itu diambil susulan peningkatan kes baharu positif Covid-19 sejak empat hari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast