KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menyegerakan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada warga pendidik bagi mengelakkan lebih banyak sekolah ditutup.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, vaksinisasi perlu dilakukan segera untuk mengelakkan proses pendidikan yang sudah bermula sepenuhnya terjejas.
“Saya memohon kepada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan segera suntikan vaksin kepada warga pendidik, pegawai, guru dan murid.
“Vaksinasi ini perlu disegerakan kepada golongan dan warga pendidik kerana proses pendidikan ini sudah bermula secara sepenuhnya dengan melibatkan aktiviti pergerakan manusia (pelajar-pelajar) dalam kapasiti yang besar.
“Perkara ini perlu dilihat dengan lebih mendalam dan tindakan yang sangat proaktif segera mungkin untuk mengelakkan situasi yang lebih serius dalam kalangan warga pendidik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup, bermula semalam selepas kes jangkitan Covid-19 dikesan berlaku di sekolah terbabit.
Melalui surat pekeliling dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, arahan penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.
Sekolah yang diarahkan tutup adalah Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Perdana, SK Bandar Baru Sri Damansara 2, SK Bukit Kuchai dan SMK Bandar Sri Damansara 2.
Turut diarahkan tutup adalah SK Bandar Sri Damansara 3, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, SMK Damansara Jaya, SK Bukit Jelutong, SMK Seksyen 7, SK USJ 20, SMK USJ 23, SMK Puchong, SMK Puchong Utama 1, SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, SMK Bandar Puncak Jalil, SMK Seksyen 20 dan SMK Puchong Perdana.
Dalam pada itu, penutupan beberapa sekolah di Selangornya pastinya akan menimbulkan kegusaran ibu bapa meskipun sekolah telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Walaupun ketetapan melaksanakan SOP di setiap sekolah namun ianya kadang-kala masih terdapat kelemahan, dalam masa yang sama takkanlah pelajar sekolah perlu didenda di atas kesalahan tidak patuh SOP?
“Saya yakin dan percaya setiap ibu bapa akan memastikan anak-anak ke sekolah dengan keadaan memakai penutup muka serta dibekalkan dengan cecair pembasmi kuman dan mematuhi penjarakkan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette