BUKIT MERTAJAM – Peniaga yang mencederakan anak perempuan jirannya menggunakan sabit di Taman Permatang Tinggi Indah semalam ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek berusia 42 tahun itu juga mengalami patah tangan akibat pergelutan membabitkan air basuhan tahi burung merpati dengan jirannya semalam.
Jelas Shafee, suspek tidak melarikan diri sebaliknya dihantar ke hospital untuk menerima rawatan susulan turut mengalami kecederaan.
“Suspek telah ditahan dan hasil siasatan awal mendapati mereka sudah berjiran sejak lapan tahun lalu.
“Berhubung isu air basuhan tahi burung merpati pula, burung tersebut bukan dibela sebaliknya burung liar yang berkeliaran di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, akibat tidak puas hati air basuhan tahi burung merpati memasuki rumah, seorang lelaki mencederakan anak jirannya menggunakan sabit dalam satu kejadian di Taman Permatang Tinggi Indah.
Dalam kejadian pukul 4 petang itu, seorang wanita berusia 27 tahun cedera pada bahagian dahi sebelah kiri ketika cuba menghalang suspek yang bersenjatakan sabit yang cuba mencederakan bapanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki berusia 42 tahun dengan bapa mangsa susulan air basuhan tahi burung merpati dikatakan masuk laman rumah suspek. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: