Blok bangunan Perumahan Awam Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Dua orang mangsa kebakaran di Sentul pada 14 Januari lalu layak  dipertimbangkan menerima penempatan Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL berkata, perkara itu diputuskan selepas dua kali bancian terperinci dilakukan bagi mengenalpasati status kewarganegaraan mangsa kebakaran oleh Jabatan Penguatkuasaan, iaitu pada 14 Januari dan 8 Februari 2021.

Semakan rekod pemilikan harta dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga telah dilaksanakan.

“Berdasarkan fakta yang diperolehi dan maklumbalas daripada pihak LHDN mendapati bahawa seorang daripada mangsa adalah isteri kepada pemilik asal rumah tersebut yang telah meninggal dunia dan tiada pemilikan harta.

“Dua mangsa mempunyai pasangan bukan warganegara Malaysia. Empat mangsa atau pasangan ada pemilikan harta di dalam radius 35KM persegi dari pusat bandar Kuala Lumpur dan tiga mangsa adalah tambahan nama yang tidak termasuk dalam bancian asal dan telah dibanci semula oleh Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL ke atas mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Taman Koperasi Polis Fasa 2 pada 8 Februari 2021 yang tiada pemilikan harta,” menurut DBKL dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kebakaran di No. 364, Lorong Sentul Pasar lebih kurang tiga bulan lalu itu, melibatkan sebuah rumah kediaman terdiri dari lima bilik tidur, satu stor katering, dan satu bahagian dapur katering yang dijadikan sebagai tempat  memasak makanan katering.

Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa yang terlibat dalam kebakaran berkenaan.

Kediaman berkenaan merupakan rumah setinggan yang didirikan di atas tanah rezab kerajaan dan seramai enam keluarga yang terlibat semasa kejadian.

Menurut DBKL, sehingga kini punca kebakaran itu masih disiasat.

DBKL berkata, pihaknya telah menempatkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan menyerahkan Sumbangan Bencana Alam sebanyak RM 500 kepada ketua keluarga.

Pejabat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan juga telah menyampaikan Bantuan Asas Makanan kepada semua mangsa yang terlibat dengan kebakaran ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast