PUTRAJAYA – Hujah pendakwaan prosiding kes rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) hari ini mendakwa kenyataan Datuk Seri Najib Razak telah menerima sumbangan berbilion ringgit dari keluarga Diraja Arab Saudi adalah satu tindakan terdesak pasukan pembelaan.
Malah hujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram, kononnya Najib yang juga bekas Perdana Menteri telah bertindak mengembalikan sumbangan AS$620 juta dari Almarhum Raja Abdullah kembali kepada Tanore Finance Corp itu juga sukar dipercayai.
“Seperti ada yang tidak kena, ini juga seperti satu usaha terdesak oleh pasukan pembelaan dalam kes ini.
“Najib sendiri dalam keterangan mendakwa Jho Low telah memintanya untuk menyerahkan wang itu kepada Tanore Finance Corp kerana adanya implikasi politik seandainya dana itu disimpan dalam akaun peribadi beliau.
“Sumbangan dari Arab itu didakwa telah diberikan kepada Najib selaku Perdana Menteri Malaysia dan mahu beliau menggunakan dana tersebut untuk mengekalkan keharmonian dan kesederhanaan tetapi pada masa sama barisan Kabinet tidak pula diberitahu tentang dana ini.
“Mengapa tidak disimpan sahaja dana ini ke dalam Federal Consolidated Fund untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti kehendak Raja Arab itu?” soalnya pada prosiding rayuan SRC melibatkan penyewelengan dana RM42 juta melibatkan Najib di hadapan tiga panel hakim hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC sebanyak RM42 juta.
Jelas Sithambaram lagi, saksi-saksi pembelaan seperti bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar al-Saggaf memberi kenyataan bercanggah berkaitan tarikh sumbangan derma itu.
Dalam pada itu, pada awal prosiding Sithambaram juga membangkitkan tentang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak akan sesekali berani memperdayakan Najib.
Ini kerana bukan sahaja keakraban persahabatan mereka sebaliknya status Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu tidak mungkin Jho Low mempunyai keberanian untuk mengatur transaksi penipuan ketika itu.
Prosiding berjalan di hadapan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. -MalaysiaGazette