Borang Rentas Negeri yang telah dipalsukan oleh dua penuntut kolej swasta.

KUANTAN- Dua penuntut kolej swasta ditahan semasa Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Bentong selepas disyaki memalsukan borang rentas negeri ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan kelmarin.

Kedua-duanya pelajar perempuan berusia 22 tahun ditahan dalam sebuah kenderaan kira-kira jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan rentas negeri kedua-dua wanita tersebut agak meragukan dan disyaki telah dipalsukan.

Zaiham berkata, polis percaya cop dan tandatangan Ketua Polis Balai yang meluluskan permit tersebut disyaki palsu dan dibuat secara imbasan dan tulisan turut dipinda.

“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka juga didapati ada salinan borang kosong rentas negeri yang siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

“Ujian saringan air kencing ke atas saspek juga telah dijalankan dan salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja,” katanya menerusi kenyataan media.

Kes disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu pemalsuan sijil palsu/ Sekyen 471 Kanun Keseksaaan menggunakan surat palsu sebagai tulen boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Di bawah seksyen ini, ia memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

“Manakala bagi pelajar yang didapati positif ganja akan disiasat dibawah Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau mengingatkan orang ramai yang hendak membuat perjalanan rentas negeri agar tidak mengemukakan borang rentas negeri yang telah diubahsuai dengan niat memalsukan dokumen tersebut.

Ini kerana, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas,’ ujarnya.

Tambahnya, polis daerah Bentong akan terus mengetatkan pemeriksaan di semua SJR antara negeri ini yang melibatkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di Pahang dapat dikawal. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast