Vaksin Sinovac dibawa masuk ke dalam lori syarikat Pharmaniaga untuk dibawa ke kilang yang terletak di Puchong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor. Foto Ihsan JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa hari ini, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara hari ini.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 6, telah dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 April lepas menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki bagi meminda akta itu.

Subseksyen baharu ini menyatakan “pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yång dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)”.

Petronas  merupakan penyumbang terbesar dana KWAN.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif membendung pandemik COVID-19 di negara ini.

— BERNAMA