KUALA LUMPUR – Kesihatan Negeri Perak semalam telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Kolej Matrikulasi Perak bersana enam pelajarnya yang telah dikompaun RM1, 500 baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, rayuan terhadap kompaun turut dibuat kesemua pelajar dan satu kertas siasatan telah dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengenainya.
“Walau demikian, rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan bahawa pelajar tersebut adalah dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun dikenakan.
“Teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan SOP di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Lay Ming menjelaskan tiga punca dikenal pasti telah dilanggar oleh keenam-enam pelajar berkenaan.
“Ketika berada di lokasi tersebut, anggota bertugas telah mendapati ketidakpatuhan terhadap SOP (prosedur operasi standard) berlaku dalam kalangan pelajar kolej iaitu tidak memakai pelitup muka, tidak memakai pelitup muka dengan lengkap dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya.
Kompaun telah dikeluarkan pada masa tersebut ke atas enam orang pelajar di bawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Sebelum ini, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin menjelaskan, tiada isu penganiayaan dalam isu kompaun tersebut.
Sebaliknya pegawai penguat kuasa yang mengeluarkan kompaun tersebut hanya menjalankan tugas memastikan SOP pencegahan penularan Covid-19 dipatuhi.
Isnin lalu, tular di media sosial mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun kerana melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup mulut di dalam kawasan kolej. – MalaysiaGazette