Kompaun RM 10,000 yang dikeluarkan oleh PKD Pekan kepada Pengerusi Masjid Sri Maulana, Pekan.

KUANTAN – Penularan notis kompaun sebanyak RM10,000 yang dikenakan kepada Masjid Sri Maulana di Taman Sri Maulana, Pekan menerusi laman sosial media Facebook dan aplikasi Whatsapp bermula 20 April lalu adalah benar.

Pengarahnya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, notis kompaun itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan ekoran kegagalan masjid tersebut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Masjid tersebut didapati gagal menyediakan ​pengimbas suhu dan kod bar MySejahtera serta buku pendaftaran pelanggan.

“Nama jemaah juga tidak direkodkan dalam buku pendaftaran masuk,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Menurutnya, kompaun yang dikenakan itu diharap dijadikan iktibar masjid-masjid lain.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan telah memberi pertimbangan diskaun sebanyak 50 peratus kepada masjid tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di semua masjid dan surau di Pahang.

Pihaknya memohon penguatkuasa JAIP memastikan pengimbas kod bar dapat dipamerkan dan diimbas oleh jemaah yang hadir ke masjid.

“Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah atau oleh pengurusan itu di luar jangkaan kita,” kata Syed Ibrahim.

Malam tadi, tular dalam entri Facebook mengenai satu notis kompaun yang dikeluarkan oleh Pejabat KesihatanDaerah Pekan pada jam 11 pagi atas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Untuk rekod, Pahang mempunyai 666 buah masjid dan lebih 2000 surau di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.