Pihak sekolah menjangkakan beberapa cabaran yang perlu didepani dengan pembukaan semula sekolah pada Oktober. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memaklumkan sebanyak 27 buah sekolah di negeri itu telah ditutup secara berperingkat bermula tiga hari lalu selepas terdapat kes positif Covid-19 dikesan.

Penutupan itu melibatkan 10 buah sekolah agama manakala 17 yang lain merupakan sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, penutupan sekolah bawah Kementerian Pendidikan berkenaan adalah selama tujuh hari.

Menurut beliau, penutupan itu dibuat ekoran terdapat kes positif melibatkan warga sekolah terbabit.

“Penutupan selama seminggu dibuat bagi membolehkan ujian calitan dijalankan terhadap individu terlibat selain proses sanitasi dijalankan.

“Masyarakat bagaimanapun tidak perlu berasa bimbang kerana keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazlan berkata demikian sebagai mengulas senarai 29 buah sekolah dan institusi yang didakwa merekodkan kes positif Covid-19 baharu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi pula memberitahu, penutupan 10 buah sekolah agama itu melibatkan empat buah daerah.

Keempat-empat daerah terlibat adalah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing.

Sekolah agama terlibat adalah Sekolah Agama (SA) Tambatan Tinggi; SA Taman Muhibah, SA Kota Kulai 2; SA Taman Sri Saujana; SA Teriang, SA Tan Sri Abd. Kadir; SA Bandar Endau; SA Semanyir; SA Belukar Juling dan SA Pusat Air Tawar.

“Penutupan sekolah agama ini dibuat antara empat hingga 11 hari mengikut kawasan,” katanya.- MalaysiaGazette