Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan (kiri) menerima dokumen daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman selepas mengadakan pertemuan di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Semua sekolah di Pahang akan berdepan dengan tindakan kompaun jika dikesan wujudnya kluster baharu akibat mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) .

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata,  cadangan tesebut merupakan solusi terakhir yang akan dilaksanakan bagi memastikan pihak sekolah memainkan tanggungjawab mengekang penularan Covid-19  di kawasan sekolah.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara itu masih dalam fasa cadangan dan perbincangan lanjut dalam sesi mesyuarat  tindakan negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak.

“Dalam keadaan ketika ini, kita faham jika kompaun dikeluarkan, ia akan menyukarkan pembayaran dibuat, jadi kalau boleh elak keluarkan kompaun, kita akan elak.

“Kita harap terutamanya ibu bapa boleh faham dan patuh dengan SOP ditetapkan, jadi secara tidak langsung kita boleh pastikan tiada kluster baharu Covid-19 wujud di sekolah-sekolah di Pahang,” katanya pada sidang media sejurus Mesyuarat Pemuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Indera Mahkota hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Pahang yang baharu, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Mohammad Rosli pula mengharapkan kerjasama daripada semua pihak sekolah, pelajar termasuk ibu bapa dalam melaksanakan tanggunjawab memutuskan rantaian Covid-19.

“Semua  pengetua dan guru besar diharapkan mematuhi surat pekeliling dikeluarkan JPN mengenai garis panduan pengendalian sekolah.

“Kalau anak demam atau ada gejala seperti batuk atau demam atau selesema, tidak perlu hantar ke sekolah, tiada tindakan disiplin diambil jika tidak hadir,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, JPN Pahang juga menafikan dakwaan menyembunyikan kes  malah tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan kes Covid-19 yang berlaku di sekolah di negeri itu.

“Pihak JPN sentiasa berkongsi maklumat mengenai statistik dan data dengan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette