Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melihat ayam segar yang dijual semasa mengadakan lawatan di MyFarm Outlet Kasih, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Bekalan ayam dijamin cukup sehingga selepas Aidilfitri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, jaminan itu telah disuarakan oleh pengusaha ayam dalam negara kepadanya baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar para pengguna khususnya yang bakal menyambut Aidilfitri, supaya tidak bimbang dengan bekalan ayam di pasaran seluruh negara.

“Selepas ada konsultasi dengan beberapa pengeluar ayam yang besar-besar mereka memberi jaminan bekalan ayam mencukupi selepas raya Aidilfitri.

“Semalam saya berhubung dengan pengusaha peladang untuk mengenalpasti beliau memberi jaminan kepada saya bekalan memang ada. Mencukupi. Jadi jangan risau kepada semua,” katanya ketika melawat MyFarm Outlet Kasih di sini, hari ini.

Sementara itu Alexander berkata, KPDNHEP menggunakan kaedah advokasi untuk memantau dan mengawal harga barangan dalam negara.

Ujarnya, peringatan akan diberikan kepada peniaga yang ingkar terhadap harga maksimum yang telah ditetapkan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 sebelum kompaun dikeluarkan .

“Peringkat awal bila kami mendapati dalam pemantauan ada berlaku, kita nasihatkan dulu pendekatan berlembut kepada yang melanggari skim harga yang ditetapkan.

“Kalau berdegil buat lagi, kita siasat lagi, kita buat amaran, beri notis kalau buat lagi kita kompaun, denda,” tambahnya sambil menafikan kementerian berkenaan lambat bertindak terhadap pelanggaran penetapan harga maksimum dalam kalangan peniaga.

Bagaimanapun, beliau berharap agar para peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap kaedah KDPNHEP dengan alasan tidak mampu mengaut keuntangan.

Jelasnya, ini kerana penetapan harga maksimum SHMMP Hari Raya Puasa 2021 dibuat berdasarkan penelitian yang dibuat secara terperinci.

“Di seluruh negara dari kedai runcit sehinggalah ke peringkat borong mesti ikut harga yang kami tetapkan di setiap peringkat. Sebab itu peruncit ini tidak sepatutnya kehilangan margin atau keuntungan mereka.

“Kami sudah (kaji) dengan mendalam, dan pastikan mereka (peniaga) tidak sepatutnya terjejas,” ujar beliau lagi.

Alexander dalam masa sama turut berharap netizen tidak mempolitikkan isu harga barangan dengan mengaitkan tindakan yang dikuatkuasakan oleh kementeriannya.

“Memang ada desakan dari netizen yang bagi saya lebih kepada mempolitikkan isu harga dalam negara ini. Tapi kami KDPNHEP bertindak untuk kesejahteraan semua pihak

“Kita pun janganlah salahkan peniaga saja sebab mereka pun pengguna dan perlu pendapatan untuk menyara keluarga dengan meniaga. Mereka ni cuma peniaga kecil.

“Kita nak jaga semua. Bukan nak menganiaya mana-mana pihak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette