KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Janna Nick mengesahkan beliau menghidap bipolar.
Menerusi Instagram, Janna atau Nurul Jannah Munir berkata, beliau telah didiagnosiskan secara klinikal oleh doktor.
Janna, 25, memaklumkan beliau sendiri tidak menyangka akan berhadapan dengan penyakit ini.
“Selama ini, saya menyangka otak saya berfungsi dengan normal seperti orang lain. Saya memang semua orang ada lebih dari tiga suara yang bermain dalam kepala.
“Saya memang ingat normal untuk kita mempunyai suara dalam kepala yang sering bercakap antara satu sama lain seperti mengadakan perbincangan berkumpulan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan pernah berniat untuk membunuh diri pada usia 14 tahun.
“Pada umur 8 tahun saya nak mati. Zaman kanak-kanak saya tidak sama dengan rakan-rakan saya. Sepak terajang memang makanan saya sejak kecil. Saya cuba untuk bunuh diri pada umur 14 tahun dengan makan panadol dicampur dengan ubatan lain,” katanya lagi.
Datang dari keluarga yang tidak lengkap, bersekolah berjauhan dengan keluarga, pengacara itu berkata, sekali lagi dia cuba membunuh diri setahun kemudian iaitu pada usia 15 tahun dengan mengerat lengannya di depan adik perempuan beliau.
Luahan Janna berakhir begitu sahaja, namun ramai rakan artis yang mendoakannya agar dia dapat terus tabah dan kuat. -MalaysiaGazette