KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) hari ini membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan semasa negara.
Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, sumber mineral sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian manusia.
Justeru kataya, langkah kerajaan yang menumpukan kepada perkara tersebut sememangnya bertepatan dan memenuhi kehendak negara pada ketika ini.
“Hampir semua perkara yang berada di sekeliling kita memerlukan sumber mineral dalam penghasilan atau pembuatan.
“Jadi, tumpuan ke arah itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan pelan ini berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan khususnya bagi mengangkat kembali industri ini menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berharap, agar semua pihak terutama pemain industri mineral dapat memberikan sokongan padu terhadap usaha yang sedang ditumpukan oleh kerajaan pada ketika ini dalam membawa pulangan lumayan kepada negara.
Hari ini, Muhyiddin melancarkan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 yang merupakan agenda baharu negara, sebagai rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri terbabit dibangunkan secara holistik.
Ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan Muhyiddin berkata, Malaysia perlu membangunkan industri itu secara bertanggungjawab dan mampan, berikutan nilai strategik industri berkenaan kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara.
Katanya, pada 2030, kerajaan menyasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK akan meningkat kepada RM29 bilion. – MalaysiaGazette