KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri sudah dibentangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP sambutan Aidilfitri itu sedang diperkemaskan.
“SOP ini sedang diperhalusi dan diperkemaskan dan akan diumumkan pada minggu hadapan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Ini adalah SOP kali pertama seumpamanya dibuat Jakim bagi sambutan Aidilfitri kali ini.
Dalam pada itu, mesyuarat hari ini bersetuju untuk melanjutkan operasi bazar Aidilfitri.
Ismail Sabri berkata, operasi itu kini dilanjutkan ke jam 2 pagi.
“Hal ini mengambil kira pengunjung mula mengunjungi bazar-bazar ini selepas Solat Isyak dan Tarawih, jadi waktunya amat terhad,” katanya lagi.
Dalam sidang media sama, Ismail Sabri mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Lahad Datu, Sabah.
Ia ekoran berlaku peningkatan yang signifikan kes positif Covid-19 kepada 128 kes sehingga hari ini.
PKP di daerah Lahad Datu, Sabah dilanjutkan bermula esok sehingga 8 Mei depan.
Turut dilanjutkan tiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
PKPD itu adalah di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah; PKPD Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak dan Politeknik Mukah, Mukah, Sarawak.
PKPD Kampung Muhibbah Raya, Tawau mencatatkan 70 kes positif; PKPD Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian, Mukah mencatatkan 96 kes positif Covid-19 dan n PKPD Politeknik Mukah dengan 241 kes.
Seramai 159 individu ditahan semalam atas kesalahan melanggar SOP.
Daripada jumlah itu, 140 dikompaun manakala 19 direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP adalah 62 tidak mendaftar masuk premis, 39 tidak memakai pelitup muka, 10 tidak mengamalkan penjarakan sosial dan 48 lain-lain kes,” katanya. – MalaysiaGazette