Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini meluluskan pendaftaran secara bersyarat vaksin CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell) Inactivated.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kelulusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-356 yang diadakan hari ini.

“Produk ini merupakan sumber kedua kepada produk CoronaVac yang telah berdaftar dari pengilang Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran produk iaitu Pharmaniaga LifeScience mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif, ujarnya.

“Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan,” katanya lagi.

Pada 26 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani dokumen ‘Terms Sheet’ dengan dua syarikat pembekal vaksin iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) bagi perolehan sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang meliputi 28.75 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.

Selain Pharmaniaga, satu lagi syarikat adalah Duopharma (M) Sdn Bhd.

Syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos Covid-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh syarikat dari China, Sinovac Life Science Co Ltd.

Pembekalan vaksin itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai April ini manakala, Syarikat Duopharma (M) Sdn Bhd pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia. –

Untuk rekod, bagi vaksin Covid-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated, setiap penerima akan diberikan dua dos suntikan vaksin iaitu suntikan dos kedua adalah selepas 14 hari daripada dos pertama. – MalaysiaGazette