Abdul Muhaimin Muhammad Salleh menunjukkan rampasan 4,400 batang rokok putih cuba seludup dari negara jiran yang berjaya ditumpaskan.

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup masuk 4,400 batang rokok putih tidak bercukai dari negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 1.5 batu nautika barat Pulau Kerok, Lahad Datu, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, ketika anggotanya membuat rondaan, sebuah bot enjin sangkut bergerak telah dikesan dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 6 pagi.

“Menyedari kehadiran bot peronda, bot suspek terus memecut laju memboloskan diri dan suspek telah bertindak membuang beberapa bungkusan plastik berwarna hitam ke laut.

“Bot suspek kemudian meluncur laju ke arah kawasan muara Sungai Tengah Nipah dan berjaya meloloskan diri daripada ditangkap dengan menggunakan alur sungai yang cetek dan sempit,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hasil pemeriksaan di kawasan itu, APMM menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok putih yang telah dibuang suspek sebelum melarikan diri.

Menurutnya, nilai jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah RM38,000.

Abdul Muhaimin berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek yang melakukan kegiatan ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh
menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi Maritim Malaysia Lahad
Datu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast