GEORGE TOWN – Seorang eksekutif pemasaran maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu melanggar pokok bertentangan sebuah hospital swasta di Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 2.47 pagi itu, mangsa, Aw Sin Wei, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika kejadian wanita yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo itu dari arah Bulatan Gelugor menghala ke Lorong Batu Lanchang.
“Sebaik tiba di Jalan Masjid Negeri kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok dan terbabas di bahagian kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Soffian, mayat mangsa dihantar ke hospital dan bedah siasatan akan dijalankan sebaik mendapat laporan ujian Covid-19.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, anggotanya dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan yang mengatakan seorang wanita tersepit dalam kereta akibat terlibat dalam kemalangan.
“Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.43 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette