KUALA LUMPUR – Pengurus Wales, Ryan Giggs kembali terpalit dengan kontroversi berkaitan wanita apabila dia didakwa kerana menyerang dua wanita di England.
Menurut laporan BBC, Giggs bukan menyerang seorang malah dua orang wanita di Salford dengan kesalahan tersebut berlaku pada bulan November 2020.
Giggs telah dihadapkan ke mahkamah kerana perbuatan buruknya ini dan memilih untuk tidak mengaku kesalahan yang dilakukannya dihadapan hakim walaupun mangsa mempunyai kecederaan kecil sewaktu insiden berlaku.
Lebih memeranjatkan, Giggs turut dikaitkan dengan beberapa lagi isu yang seumpamanya berlaku dari Disember 2017 hingga November 2020.
Apa yang terjadi ini pastinya mencalarkan reputasinya sebagai pengurus Wales, dan misinya tertumpu untuk membersihkan namanya sahaja.
“Saya fokus sepenuhnya untuk membersihkan nama saya. Saya menghormati penuh proses undang-undang dan betapa seriusnya isu ini.”
Oleh kerana itu, Giggs bakal terlepas untuk mengendalikan skuad Wales dalam aksi EURO 2020 yang bakal dilangsungkan pertengahan tahun ini di serata Eropah.
Tempatnya akan diganti oleh pembantunya iaitu Robert Page.
Bagi FA Wales pula, mereka akan melakukan perbincangan terperinci mengenai situasi Giggs serta impak kes beliau kepada persatuan serta pasukan kebangsaan.
Wales bakal berdepan Switzerland, Itali dan Turki dalam saingan peringkat kumpulan EURO 2020. – MalaysiaGazette