PATTANI – Kesucian bulan Ramadan di selatan Thailand sekali lagi dicemari dengan insiden keganasan apabila tiga orang awam termasuk seorang bapa dan anak perempuannya mati ditembak dalam satu serangan di Wilayah Sai Buri, Pattani pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian pada 6.30 pagi (waktu tempatan) di Jalan Pattani-Narathiwat No 42 di Kampung Laharn itu, seorang lelaki berusia 58 tahun dan anak perempuannya berumur 26 tahun serta seorang lagi lelaki yang merupakan saudara mereka berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Hatyai, Songkhla untuk mengangkut barang ke Narathiwat dengan menaiki sebuah trak pikap.
Pesuruhjaya Polis Wilayah Bahagian Ke-9 Leftenan Jeneral Ronnasin Phusara berkata siasatan awal mendapati empat lelaki yang menaiki dua motosikal telah melepaskan tembakan ke arah trak pikap sebelum kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang.
“Dua penyerang turun dari motosikal mereka dan menembak mangsa dari jarak dekat. Trak pikap itu kemudian dibakar oleh penyerang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian.
Beliau berkata polis yang bergegas ke tempat kejadian menemukan mayat bapa dan anak perempuannya di dalam trak pikap yang terbakar manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ronnasin berkata polis mengesyaki tindakan itu mungkin dilakukan kumpulan militan yang ingin membalas dendam atas kematian rakan mereka dalam insiden tembak-menembak dengan pasukan keselamatan Thailand di daerah Yi-ngo di Pattani pada Khamis.
Dalam kejadian itu, dua lelaki tempatan yang dipercayai anggota kumpulan militan telah ditangkap.- BERNAMA