KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh mengesahkan menerima aduan mengenai seorang cikgu jasmani yang dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsurkan lucah semasa mengajar.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pengadu yang merupakan seorang wanita mendakwa guru berkenaan menyebut elemen rogol di dalam kelas.
Perbuatan guru tersebut kata pengadu mendatangkan kegusaran dan rasa tidak senang hati, ujarnya.
Shafa’aton berkata, saksi-saksi yang terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Semalam, seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Seorang pelajarnya menerusi aplikasi TikTok mendakwa, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.
Katanya pelajar wanita itu, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan itu.-MalaysiaGazette