Terengganu FC (TFC) memadamkan rekod tanpa kalah 21 perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menang tipis 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri malam ini.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) memadamkan rekod tanpa kalah 21 perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menang tipis 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri malam ini.

Pemain muda, Mohamad Hakimi Abdullah muncul wira skuad Penyu itu apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57.

Kemenangan tersebut melonjak kedudukan TFC ke tangga kedua liga selepas mengumpul 21 mata dan hanya ketinggalan dua mata dengan JDT yang masih unggul di tangga teratas liga.

Aksi tuan rumah malam ini dilihat tidak menjadi selepas kehilangan dua tonggak utama, S Kunanlan dan Mauricio Nascimento pada babak pertama.

Pengendali JDT, Benjamin Mora terpaksa melakukan rombakan dengan meletakkan Matthew Davies dan Syamer Kutty Abba bagi mengimbangi corak permainan TFC yang gemar melakukan serangan kilat pantas.

Lebih menarik, skuad kendalian Nafuzi Zain beraksi konsisten dan yakin dalam perlawanan itu walaupun menurun beberapa pemain muda tidak dikenali ramai.

Harimau Selatan terus mengasak bertalu-talu namun buntu menjaringkan gol walaupun Mora memasukkan Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman dan Nazmi Faiz Mansor dalam usaha memburu gol penyamaan.

Namun keputusan 1-0 memihak TFC kekal sehingga tamat perlawanan. – MalaysiaGazette