Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) diiringi ketua Setiausahanya, Datuk Suriani Datuk Ahmad (dua kiri) dan Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Platform Warongku Peringkat Kebangsaan di SME CORP. Malaysia, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Platform e-dagang Warongku disasarkan akan memberikan manfaat kepada 3,500 penjaja dan peniaga kecil hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya telah peruntukan berjumlah RM3.11 juta untuk membantu mereka mendigital perniagaan mereka melalui platform Warongku.

“Daripada jumlah ini, seramai 2,000 penjaja dan pengguna kecil telah membuka platform ini sebagai e-merchant, tambahan penyertaan seramai 1,500 lagi sedang dilaksanakan.

“Kesemua peserta mendapat bantuan di bawah Program Micro Connector yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan ‘Platform Warongku’ peringkat kebangsaan di SME Corp, hari ini.

Inisiatif di bawah SME Corp ini akan menyediakan pelbagai bantuan, merangkumi latihan penggunaan aplikasi digital, pembekalan terminal, kad sim beserta data internet selama setahun.

Agensi itu menerima sokongan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, platform Warongku dibina bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian (e-dagang) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan dana berjumlah RM700 juta.

“Di bawah program Warongku, MEDAC menerusi SME Corp Malaysia berusaha untuk membantu golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan dari sektor tidak formal untuk mengadaptasi teknologi digital, seterusnya memasarkan produk secara dalam talian.

“Justeru, Warongku dengan kerjasama platform pesanan dan penghantaran makanan secara dalam talian yang dibangunkan Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB) dilihat mampu merealisasikan hasrat kementerian ini,” katanya lagi.

Platform Warongku yang dilancarkan hari ini turut mendapat sokongan penuh daripada Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) yang diangkat sebagai rakan strategik.

Antara lain adalah Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS), Celcom Axiata Bhd, Pos Malaysia Bhd, Kiple Pay Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd (Touch ‘N’ Go). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast