KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri berhubung kejayaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar semalam, jelas menunjukkan kecekapan pemimpin dalam menguruskan negara ketika pandemik Covid-19 pada masa ini.
Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pengurusan kewangan melibatkan mata wang terbesar dunia.
Katanya, langkah itu mampu meyakinkan pelabur-pelabur sekaligus memulihkan ekonomi negara dalam tempoh yang pantas.
“Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu memberi gambaran bahawa Malaysia tidaklah berdepan krisis ekonomi yang teruk sebagaimana digembar gemburkan sesetengah pihak.
“Saya yakin, kepimpinan negara akan terus melakukan yang terbaik dalam usaha menjamin kelestarian ekonomi meskipun kita belum lagi menang melawan wabak Covid-19 yang terus mengganas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, dengan maklumat terkini yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri itu ia sudah pastinya memberi nafas lega kepada pemain industri dalam sektor ekonomi untuk terus bergerak dalam memainkan peranannya menerusi bidang masing-masing.
Katanya, rakyat tidak perlu risau kerana fakta yang diberikan oleh Perdana Menteri berhubung perkara itu pastinya mempunyai keabsahan dan sebagai seorang ketua kerajaan beliau tentunya mahu melihat negara yang sedang dikemudi berada dilandasan yang tepat.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan kejayaan kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS (AS$) dengan jumlah nilai AS$1.3 bilion adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara.
Melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada AS$1.0 bilion kepada AS$1.3 bilion. – MalaysiaGazette
Kejayaan kerajaan terbit sukuk kelestarian berdaulat satu pencapaian negara – PM