Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menunjukkan dadah yang berjaya dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Polis Bukit Aman berjaya menumpaskan dua sindiket memproses dadah di makmal serta menyeludup  masuk dari Selatan Thailand menerusi jeti haram di Kelantan.

Nilai keseluruhan rampasan dadah jenis syabu dan ketamin itu adalah berjumlah RM17.55 juta, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Narkotik dengan kerjasama JSJN Selangor erjaya menumpaskan kedua-dua sindiket berkenaan apabila membongkar sebuah makmal haram memproses dadah dalam dua operasi berasingan di Lembah Klang pada 20 hingga 21 April lalu.

Katanya, dalam operasi pertama, sindiket yang modus operandi dengan menyeludup masuk bekalan dadah ke Malaysia dari Selatan Thailand melalui jeti haram di Kelantan menggunakan taktik perkhidmatan penghantaran kontena dan parcel melalui jalan laut dan udara ditumpaskan.

“Kita melaksanakan tujuh serbuan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan telah berjaya menahan sembilan individu iaitu lapan lelaki tempatan dan seorang wanita.

“Mereka berumur lingkungan 24 hingga 46 tahun dan salah seorangnya positif ketamin hasil ujian air kencing serta merampas 354 ketulan heroin base seberat 134 kilogram dan 101 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 104kilogram bernilai RM15.2 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menunjukkan dadah yang berjaya dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2021.

“Sindiket ini telah mula aktif, menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari 2021 dan nilai dadah dan untuk kegunaan seramai 9,281,500 penagih dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@Rasid dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Malah jelas beliau, salah seorang suspek juga mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua mereka direman tujuh hari sehingga esok.

Menurutnya tindakan turut diambil di bawah ADB (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana menyita pelbagai aset sindiket bernilai RM881,358.68 termasuk lapan kenderaan bernilai RM613,000 dan wang tunai RM136,110.

Kata Acryl Sani lagi, dalam operasi kedua pada 20 April lalu, pasukanya menerusi tiga serbuan di Kundang, Rawang berjaya menjejaki dan menumpaskan sebuah makmal haram memproses dadah ketiamin menerusi tiga serbuan berasingan.

“Hasilnya lapan ahli sindiket yang terlibat memproses dadah di makmal haram iaitu tujuh lelaki termasuk empat warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan berjaya ditangkap dan berusia lingkungan 26 hingga 47 tahun.

“Pemeriksaan lanjut berjaya merampas dadah ketamin seberat 22.015 kilogram dan cecair ketamin seberat 37.15 kilogram bernilai RM2.35 juta bersama dua balang gergasi yang boleh memasak 200 liter ketamin serta mesin ketuhar dan beberapa pelatan makmal selain tong-tong mengandungi bahan memproses barang terlarang itu.

“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu untuk bekalan dan kegunaan 197,217 penagih dadah,” ujarnya.

Tegas beliau kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan kesemua suspek direman sehingga esok.

Siasatan lanjut ke atas kesemua suspek mendapati empat daripadanya positif ketamin dan salah seorangnya mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tindakan lanjut di bawah ADB (Perlucuthakan Harta) 1988 iaitu dua kereta Honda City dan dua motosikal Honda EX5 turut disita disyaki milik suspek.

“Sepanjang empat bulan pertama tahun ini sahaja kita berjaya menumpaskan 92 sindiket atau kumpulan aktif dadah dan 12 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM343 juta dirampas berbanding sepanjang tahun lalu 305 sindiket dadah dengan rampasan dadah berjumlah 14 tan dadah bernilai RM405 juta.

“Kejayaan Narkotik dengan agensi lain PGA, Polis Marin dan Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti juga bekerjasama secara bersepadu dalam membanteras sindiket dan kegiatan dadah dalam negara sangat memberangsangkan dan diharao momentum ini diteruskan lagi demi menghapuskan najis itu sepenuhnya.

“Daripada jumlah itu seramai 1,253 suspek dadah yang ditahan dan diambil tindakan adalah berumur bawah 18 tahun.

“Saya mengalukan kerjasama orang ramai kerana kebanyakan kejayaan kes-kes ini dicapai hasil maklumat dan kerjasama orang ramai dan polis menjamin setiap pemberi maklumat dipelihara aspek keselamatan diri mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette