Joging antara s

PADA bulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa selama 29 atau 30 hari. Apabila mereka berpuasa, mereka menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib). Bulan Ramadan memberi peluang kepada umat Islam untuk lebih fokus kepada bersolat, beribadah, membuat amal kebajikan serta meluangkan masa bersama keluarga.

Disebabkan pengambilan makanan yang terhad berbanding hari biasa, pastinya ramai dalam kalangan kita yang menjadi kurang aktif dan mengambil peluang untuk mencuba pelbagai juadah enak di bazar Ramadan ketika berbuka. Namun, sebenarnya bulan Ramadan adalah waktu terbaik bagi menjalankan gaya hidup yang lebih sihat dan berdisiplin.

Berikut adalah 8 tips kesihatan di bulan Ramadan.

1. Jangan tinggalkan sahur.
Meskipun mungkin kurang berselera untuk makan di awal pagi, umat Islam sepatutnya bersahur kerana Rasulullah S.A.W. menganjurkan agar kita bersahur sebelum berpuasa. Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.(HR: al-Bukhari)

Sama seperti sarapan pagi, sahur adalah penting untuk memberi tenaga selama seharian kita berpuasa. Makanlah makanan yang sihat semasa bersahur dengan memberi perhatian kepada pengambilan nutrisi seimbang daripada karbohidrat kompleks, serat dan protein.

Karbohidrat kompleks seperti oat, nasi perang atau roti perang dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama.

2. Pastikan masih mengambil ubat-ubatan.
Buat pesakit kronik, anda perlu mendapatkan nasihat doktor sama ada anda boleh berpuasa atau tidak. Nasihat doktor juga perlu diperolehi bagi menentukan sama ada pengubahsuaian
dos dan waktu pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan. Ubat-ubatan tidak sepatutnya diberhentikan semasa berpuasa tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

3. Elakkan pengambilan kafein.
Orang yang berpuasa sebaik-baiknya perlu menghindari minuman berkafein seperti kopi, teh, air coklat dan air berkarbonat kerana ia bersifat diuretik. Pengambilan kafein ketika bersahur akan menyebabkan seseorang kerap kencing selain membuatkan mulut berasa kering dan dahaga. Sebaik-baiknya, minumlah air putih secukupnya ketika bersahur dan berbuka.

4. Berhenti merokok.
Bagi perokok atau vaper, Ramadan adalah satu peluang yang sangat bagus untuk cuba berhenti merokok. Merokok membatalkan puasa, seperti pendapat jumhur ulama. Jadi,
kebanyakan perokok akan menahan diri daripada merokok pada siang hari sewaktu berpuasa. Alangkah bagusnya jika pada bulan Ramadan ini anda menanam niat untuk berhenti merokok sepenuhnya.

Berpuasa seringkali dikaitkan dengan tempoh mendidik minda untuk melawan nafsu, dengan menahan lapar, dahaga dan juga keinginan untuk merokok. Sibukkan diri dengan pelbagai ibadah seperti membaca Al-Quran, berzikir dan solat-solat sunat seperti solat tarawih.

InsyaAllah dengan niat dan disiplin pada bulan Ramadan, anda boleh berhenti merokok dengan jayanya tahun ini. Jika anda memerlukan bantuan, anda juga boleh merujuk kepada Klinik Berhenti Merokok di klinik kesihatan yang terdekat.

5. Minum air secukupnya.
Sebahagian besar tubuh kita terdiri daripada air, dan kita memerlukan jumlah yang sama dengan semasa kita berpuasa. Minumlah sekurang-kurangnya 8 hingga 12 gelas sehari,
mengikut berat badan anda. Anda boleh memenuhi keperluan air tersebut dengan minum air daripada waktu berbuka hingga waktu bersahur. Ini adalah penting untuk mencegah dehidrasi atau kekurangan air yang banyak.

6. Kawal nafsu di bazar Ramadan.
Di Bazar Ramadan pelbagai juadah disediakan bagi membolehkan orang ramai menjamu selera ketika berbuka puasa. Kuih muih beraneka macam dan lauk pauk yang menyelerakan sudah pasti menambat hati pengunjung ke bazar Ramadan.

Namun begitu, ini tak bermakna kita perlu mengikut nafsu dan membeli semua juadah yang ingin dicuba. Untuk mengelakkan pembaziran, cuba senaraikan juadah yang ingin dibeli dan
bajet anda sebelum pergi ke bazar. Ketika di bazar Ramadan, beli daripada penjual yang mengamalkan kebersihan, tidak membiarkan makanan terdedah dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Pilihlah makanan yang sihat dan seimbang.

7. Berbuka dengan makanan seimbang.
Semasa berbuka puasa, mulakan dengan dua biji kurma dan segelas air kosong. Cuba elakkan daripada mengambil air yang manis. Jika begitu teringin, disarankan untuk mengambil jus buah-buahan tanpa gula.

Untuk makanan, amalkan pengambilan makanan ‘Suku Suku Separuh’. Untuk suku pertama pinggan boleh diisi dengan karbohidrat seperti nasi, mi atau roti.

Suku kedua pula diisi dengan sumber protein seperti ayam, ikan atau daging dan separuh pinggan pula dipenuhi dengan sayur-sayuran. Hadkan pengambilan makanan manis dan bergoreng kerana makanan ini membekalkan kalori yang tinggi dan boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan.

8. Lakukan senaman ringan.
Bulan Ramadan bukan menjadi halangan untuk kekal sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Anda masih boleh bersenam dengan melakukan senaman intensiti sederhana atau rendah
selama 30 minit, 3-4 kali seminggu. Antara contoh aktiviti yang boleh dibuat adalah seperti berjalan, berbasikal, yoga ataupun latihan rintangan.

Seeloknya, elakkan bersenam sewaktu berpuasa untuk menghalang dehidrasi. Senaman ringan boleh dilakukan selepas berbuka puasa ataupun selepas solat tarawih. Namun, jika
anda kesuntukan masa atau lebih gemar bersenam pada waktu siang, anda boleh bersenam dalam 30-60 minit sebelum berbuka, supaya anda boleh berbuka dan minum sejurus selepas senaman berakhir.

Bulan Ramadan bukanlah bererti kita hanya akan kelesuan sepanjang masa. Amalkan tip-tip diatas agar anda lebih sihat dan bertenaga untuk bekerja serta beribadah di bulan yang mulia ini.

Dr Norashikin Amran
BM (Southampton), MRCP (UK)
Medical Lecturer,
Department of Oral &Maxillofacial Surgery, Medicine and Pathology,
Faculty of Dentistry,
Universiti Sains Islam Malaysia.