SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya ingin memiliki zuriat sendiri bagi mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.- Gambar hiasan.

SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya ingin memiliki zuriat sendiri bagi mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Malah, terdapat segelintir pasangan normal yang perlu menunggu lama untuk mendapat zuriat sendiri kerana pelbagai faktor seperti emosi, gaya hidup dan tahap kesihatan.

Namun, amat penting bagi setiap pasangan meraih ilmu secukupnya berkaitan proses ovulasi dan tempoh subur supaya kehamilan berlaku secara sempurna.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Hasna Hamzah berkata, proses ovulasi ialah proses pelepasan ovum atau benih wanita daripada kilang ovari.

 

    , Dr Hasna Hamzah

“Ia berlaku hasil perubahan hormon LH (peluteinan) dan FSH (perangsang folikel) yang menyebabkan perubahan bukan sahaja pada ovari tetapi juga pada dinding rahim.

“Sebenarnya, perubahan dinding rahim amat penting bagi memastikan wanita bersedia menempuh fasa kehamilan.

“Secara logik, apabila proses persenyawaan berlaku, proses penempelan pula akan menyusul namun sekiranya tidak berlaku persenyawaan, dinding rahim yang tebal (disebabkan kesan
perubahan hormon) ini akan luruh dan akan keluar sebagai darah haid,” kata Hasna.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasna memberitahu, wanita yang mengalami kitaran haid normal (28 hari), kebiasannya akan melalui tempoh ovulasi sekitar hari ke-14.

“Situasi ini terjadi kira-kira 36 jam selepas hormon LH meningkat secara drastik (kitaran haid normal kebiasaannya sekitar 24 hingga 38 hari).

“Namun, hari ke-14 (tempoh ovulasi) tidak tepat sepenuhnya kerana terdapat wanita yang kitaran haidnya tidak teratur.

“Malah, sekiranya kitaran haid mereka tepat 28 hari sekalipun tempoh ovulasi masih boleh berubah kerana setiap wanita mempunyai waktu ovulasi tersendiri yang berbeza dengan
individu lain,” katanya.

Dalam pada itu, Hasna memberitahu, ovulasi sering dikaitkan dengan peningkatan suhu badan kira-kira 0.5 darjah selsius.

Wanita boleh mengukur perubahan suhu tubuh mereka dengan
menggunakan alat termometer bagi mengesan waktu subur.

“Cara lain ialah dengan merekodkan kitaran haid pada kalendar. Sekiranya kitaran haid normal, wanita boleh mengalami ovulasi pada hari ke-14 sebelum datang haid.

“Sebaiknya catat kitaran haid dengan teratur dan pasangan disarankan melakukan hubungan kelamin sekitar hari ke-14 sebelum kitaran haid yang seterusnya tiba.

“Namun ini hanya kiraan dan jangkaan semata-mata. Jika masih sukar hamil secara normal, segera berjumpa doktor yang bertauliah bagi mengesan punca kesukaran hamil untuk
mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujar Hasna.

Ovulasi ialah salah satu faktor utama kesuburan. Setiap wanita (haid normal) mempunyai kira-kira enam hari kitaran haid yang dipanggil waktu subur yang semasa itu peratusan untuk
hamil cukup tinggi.

Jika seorang wanita berkahwin mempunyai masalah untuk hamil, haid tidak tetap atau tidak dapat bersama suami dengan kerap amat penting bagi dirinya mengetahui tempoh subur
dirinya.

Namun, sekiranya menetapkan masa melakukan seks terutama semasa hari yang subur boleh membuatkan wanita dan pasangan tertekan.

Yakinlah seks yang kerap sepanjang kitaran haid sudah cukup untuk meningkatkan peluang hamil.

TIP-TIP UNTUK MENINGKATKAN KESUBURAN
1. Pastikan indeks jisim tubuh (BMI) anda dan pasangan ideal.

2. Amalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok atau makan berlebihan. Sebaiknya cuba bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

3. Lakukan hubungan seks sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Cuba posisi berlainan untuk mengelakkan kebosanan.

4. Pastikan mengambil makanan seimbang yang tinggi serat, sayur-sayuran dan buah-buahan selain sumber protein dan kalsium yang mencukupi.

5. Pengambilan asid folik dapat membantu meningkatkan kesuburan selain mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang bayi.

6. Ketahui waktu subur dengan sempurna.

7. Kurangkan pengambilan minuman kopi.

8. Sentiasa kekal positif.

9. Berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat selain membawa sekali catatan kitaran haid sebagai rujukan utama.- MalaysiaGazette