Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Lima Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijadualkan tamat esok melibatkan tiga di Sabah dan dua di Pahang.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu diambil selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penamatan PKPD di Taman Villa Mas, Tawau, Sabah ditamatkan setelah KKM merekodkan tiada lagi kes baharu di kawasan itu.

“Penamatan PKPD di Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud, Sabah dibuat setelah terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke PKRC.

“Penamatan PKPD di Pasar dan Perumahan Sim-Sim serta Kampung Sungai Obar Batu 7, Sandakan, Sabah setelah KKM mengesahkan kes telah menurun dan semua kluster adalah terkawal manakala kes positif, kontak rapat diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dua lagi PKPD yang ditamatkan adalah di empat Perkampungan di Temerloh, Pahang iaitu Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap, Paya Pulai- Kampung Batu 4 dan Paya Pulai – Kampung Batu 5.

Sepanjang tempoh PKPD, KKM telah melaksanakan 605 ujian saringan dan secara kumulatifnya 28 kes positif Covid-19 direkodkan.

Penamatan PKPD di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan, Pahang setelah 17 kes positif Covid-19 direkodkan.

PKPD ini akan tamat Khamis depan.

Sementara itu, dua lagi PKPD dilaksana iaitu di Mukah, Sarawak melibatkan enam rumah panjang dan di kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit.

Di PKPD Sungai Duan, terdapat 17 kes positif baru telah direkodkan di rumah panjang lain yang terletak berhampiran dengan kawasan PKPD tersebut.

Sementara itu, PKPD Kawasan Pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh pula melibatkan 243 kes positif Covid-19.

PKPD Sungai Duan akan tamat 6 Mei depan dan PKPD Kawasan Pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh dikuatkuasakan mulai esok sehingga 26 Mei depan.

Dalam pada itu, sejumlah 420 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Daripada jumlah itu, seramai 388 individu dikompaun manakala 32 lagi direman.

Antara kesalahan-kesalahan yang direkodkan melibatkan 145 aktiviti pusat hiburan, 133 kes gagal merekodkan butiran diri, 56 kes tidak memakai pelitup mulut dan hidung, 47 kes tidak mengamalkan penjarakan fizikal, lima aktiviti rentas negeri tanpa kebenaran dan 33 melibatkan lain-lain kes. – MalaysiaGazette