KUALA SELANGOR – Kesesakan luar biasa di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama di sini bukan perkara baharu bahkan ia telah berlarutan sejak lima tahun lalu hingga menjejaskan kehidupan pelajar dan ibu bapa yang terlibat.
Lebih malang apabila kesesakan dikesan bertambah buruk pada waktu puncak, antara jam 5 petang hingga 6.30 petang apabila pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah yang bersebelahan keluar untuk balik ke rumah.
Kesesakan berpunca apabila ibu bapa dan bas sekolah yang ingin membuat pusingan U tersekat di persimpangan Persiaran Saujana 3 ke jalan utama yang dipenuhi kenderaan lain dari arah bertentangan sejauh 3 kilometer.
Bagi seorang pengusaha bas sekolah, Abdillah Abdul Jalil, 54, dia memerlukan 30 minit untuk sampai ke sekolah kerana tersekat di bulatan Elmina menghala ke persimpangan Persiaran E1/1.
“Kesesakan akan berlarutan hingga ke hujung jalan ini (Persiaran Saujana 3) dan setiap hari ketika waktu puncak, bas sekolah akan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke sekolah dan 15 minit lagi untuk keluar dari jalan ini.
“Hampir 45 minit dibazirkan di situ saja, pelajar-pelajar menunggu begitu lama untuk naik van. Bila budak-budak keluar serentak, jadi akan berkumpul di sini, di zaman Covid-19, kita tak nak mereka berkumpul rapat-rapat,
“Mereka tak boleh balik, terpaksa menunggu ibu bapa dan bas sekolah hingga tiada penjarakan fizikal ketika berada di luar sekolah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di luar pekarangan SMK Saujana Utama, di sini, hari ini.
Abdillah berkata, dia sendiri ada memberi kertas cadangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, persatuan penduduk dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada dua tahun lalu.
“Kami mohon buat satu aliran keluar sebab sekarang ini ada satu laluan sahaja, kita minta satu lagi simpang kecil untuk keluarkan kenderaan dari sini supaya pergerakan trafik lebih lancar,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa yang menjemput anaknya di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Saujana Utama mendedahkan, ada kala dia terpaksa berbuka di dalam kereta kerana kesesakan luar biasa pada waktu puncak.
“Betul sesak teruk sampai waktu berbuka puasa, waktu puncak kadang kala sampai pukul 7 malam, risau tak sempat berbuka di rumah.
“Ada juga jiran-jiran sampai berbuka dalam kereta, ada yang mengadu sesak sampai bulatan Elmina,” katanya.
Bagi seorang ibu, Siti Noor Ain Derahman, 36, tiada keperluan untuk lampu trafik dari Persiaran Saujana 3 ke jalan utama kerana ia hanya menyumbang kepada kesesakan yang lebih teruk.
“Kalau boleh lampu trafik itu tak wujud pun tak apa, kalau ikut perancangan bandar memang tak boleh wujud sebab dekat sangat.
“Kita nak masuk sini, orang sana nak keluar. Papan tanda elok diperbesarkan baru orang nampak jalan ini jalan sehala, sekarang terlalu kecil.
“Kadang kala saya terpaksa halang orang yang nak masuk, kita pula kena beritahu ini jalan sehala,” katanya lagi. – MalaysiaGazette