Jutaan orang di Yaman memerlukan makanan, ubat-ubatan dan tempat tinggal setelah lebih dari enam tahun berperang. foto Agensi

DALAM perkembangan baru mengenai perang di Yaman, kumpulan Houthi secara serentak memperhebatkan serangannya dengan dron di kawasan minyak di selatan dan barat ke bandar Ma'rib, dan laporan media mendedahkan ramai yang terkorban disebabkan tragedi itu.

Pada 9 April lalu, perang di Yaman menyaksikan pertempuran sengit antara tentera prokerajaan dan pemberontak Houthi berhampiran bandar Ma’rib, yang mana Houthi melancarkan serangan untuk maju ke kubu kuat terakhir kerajaan di utara itu.

Pertempuran berlangsung di tiga sisi, dan pemberontak telah membuat pengepungan di daerah Kassara dan al-Mashjah di barat laut Ma'rib, tetapi mereka tidak dapat terus ke
wilayah Jabal Murad di selatan negara itu.

Pertempuran itu dilaporkan telah mengorbankan 123 orang melibatkan 48 tentera prokerajaan dan 75 pemberontak Houthi dalam tempoh 48 jam.

Konflik di negara ini sejak akhir tahun 2014 telah mengorbankan puluhan ribu nyawa manakala jumlah pelarian pula semakin meningkat. Sementara itu, hampir 80 peratus daripada penduduk Yaman yang berjumlah sekitar 29 juta orang itu bergantung kepada bantuan luar hinggakan negara itu menjadi negara yang mengalami krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Menurut Majlis Keselamatan PBB, pertempuran di Ma’rib menyebabkan sejuta orang dipindahkan ke dalam negara dengan risiko yang besar dan mengancam usaha mencapai penyelesaian politik pada saat masyarakat antarabangsa semakin bersatu untuk mengakhiri konflik.

Kepentingan Ma’rib bagi Houthi

Lebih setahun yang lalu, Houthi yang disokong Iran telah berusaha untuk menguasai bandar Ma'rib yang terletak di wilayah yang kaya minyak itu dengan tujuan untuk menguasai
sepenuhnya seluruh utara Yaman.

Selepas tempoh bertenang mereka itu, pada 8 Februari lalu Houthi kembali menyerang pasukan kerajaan yang disokong oleh pakatan tentera pimpinan Arab Saudi di negara termiskin Semenanjung Arab itu.

Ratusan tentera kedua-dua pihak terbunuh dalam pertempuran yang berlaku, yang cuba dikendalikan oleh pihak Houthi sebelum mengadakan sebarang rundingan baru dengan kerajaan yang diakui, terutama berikutan tekanan kerajaan Presiden AS, Joe Biden untuk mendorong penyelesaian politik.

Bandar Ma'rib masih belum tersentuh oleh perang pada awalnya, tetapi hampir setahun yang lalu pertempuran menghampirinya hinggalah tercetus sekali lagi peperangan pada
bulan ini.

Lokasi bandar kecil ini penting bukan hanya kerana jaraknya dekat dengan Sana’a, tetapi kerana ia dianggap sebagai batu loncatan menuju wilayah selatan dan utara melalui persimpangan utama.

Antara 20,000 dan 30,000 orang tinggal di Ma’rib pada masa sebelum tercetusnya konflik pada tahun 2014, tetapi populasinya meningkat dua kali ganda hingga menjadi ratusan ribu
setelah mereka terlantar dan mengharapkan perlindungan.

Houthi menyerang Arab Saudi dengan dron 

Sebaliknya, media rasmi di Arab Saudi melaporkan pada Ahad lalu bahawa pakatan Arab memintas dan menghancurkan dua dron yang dilancarkan oleh kumpulan sekutu Iran itu ke arah Khamis Mushait dan Jizan, di selatan Arab Saudi.

Pakatan itu mengatakan akan mengambil langkah praktikal yang diperlukan untuk melindungi orang awam, sesuai dengan undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mengatakan dalam Twitternya bahawa kumpulan itu melancarkan dua dron di lapangan terbang Jizan di Arab Saudi selatan dan di Pengkalan Udara Raja Khalid di Khamis Mushait.

PBB dan Amerika Syarikat telah memperhebatkan usaha diplomatik untuk mengumumkan perjanjian gencatan senjata yang disambut oleh Arab Saudi dan kerajaan Yaman.

Namun, Houthi terus mendesak agar diangkat sekatan di laut dan udara sepenuhnya oleh pakatan Arab di kawasan yang dikendalikan oleh kumpulan itu.

Konflik Yaman dan kegagalan transisi politik

Kerana sasaran peperangan Houthi adalah Muslim, maka Iran menjadi negara setia yang membantu pergerakan tentera Houthi hingga ke hari ini. Manakala dalam hampir sedekad terakhir ini, konflik tersebut tidak lagi disebabkan hubungan kerajaan dengan barat tetapi faktor lain, iaitu kegagalan transisi politik dari Presiden Ali ke Presiden Hadi.

Kegagalan transisi ini nampaknya memberikan kesan yang hebat dan mempengaruhi kebanyakan masyarakat. Penduduk Yaman yang majoritinya Sunni dan mendukung kerajaan, berbelok mendukung Houthi dan menguasai wilayah penting di negara itu pada September 2014 lalu dengan tuntutan turunnya harga bahan keperluan utama dan kerajaan baru.

Tujuh tahun sudah dilewati, namun konflik ini masih terus berlangsung hingga hari ini. Jika mulanya pemberontakan hanya terpusat di Saada dan wilayah utara lainnya, kini tentera
Houthi memperluaskan cakupannya hingga ke Sana’a dan seluruh kota di Yaman.

Berikutan tragedi itulah yang memaksa Presiden Mansour Hadi untuk lari meninggalkan Yaman pada tahun 2015 dan kerana konflik yang tidak berkesudahan di negara Yaman itu
menjadikannya negara termiskin di Semenanjung Arab beberapa tahun.

Menurut United Nations Development Programme (UNDP), jika konflik ini berlarutan sehingga tahun 2022, Yaman diramalkan menjadi negara termiskin di dunia.

Pelajaran penting daripada konflik Yaman-Houthi 

Tahun 2014 merupakan tragedi getir bagi Yaman. Houthi yang beraliran Syiah Zaidi mula melakukan pemberontakan terhadap kerajaan. Walaupun terbatas di daerah miskin saja di
bahagian utara negara tersebut, konflik Yaman ini tetap membuat masyarakat menderita.

Ideologi keagamaan, kegagalan transisi politik, kenaikan harga bahan utama, tuntutan pembentukan kerajaan baru, campur tangan pihak asing, ‘budaya’ berperang dan gila kuasa
menjadi faktor penting tercetusnya tragedi di negara Yaman ini.
Persoalan ideologi bukan perkara baru dalam Islam. Setidaknya sejak abad ke-11 H, alasan klasik ini kerap menjadi penyebab huru-hara dalam persoalan agama. Implimentasinya berbeza, dari yang membolehkan berlaku diskriminasi hingga menghalalkan darah antara satu dengan lainnya. Sungguh ini sangat tidak rasional.

Peralihan politik yang lancar sangat penting bagi semua pihak untuk merealisasikannya. Keinginan kerajaan, bekas kerajaan serta rakyat untuk mengembalikan kesejahteraan dan
keamanan mesti benar-benar dilaksanakan dalam fasa ini. Saya berpendapat bahawa orang-orang Yaman sangat menginginkan perdamaian tetapi malangnya sebilangan elit menginginkan sesuatu yang lain.

Mengenai harga bahan utama pula, ini tidak boleh diabaikan. Benar, hal ini tidak ada kaitannya dengan agama, tetapi jika majoriti rakyat dalam sesebuah negara bersatu tenaga
memprotes harga bahan pokok yang relatif naik, tentu perkara ini mesti menjadi keutamaan.

Namun, protes yang baik ialah protes yang dilakukan dengan bijak dan berstrategi. Menginginkan kerajaan baru tentunya merupakan sesuatu yang wajar dalam sesebuah
negara. Adanya ketidakpuasan terhadap kerajaan yang sedang berkuasa menjadi salah satu penyebab hasrat ini muncul secara spontan.

Akan tetapi tentu tidak bijak jika perkara tersebut mereka lakukan dengan tidak berstrategi. Menantikan hingga pilihan raya umum (PRU) tiba adalah cara terbaik dengan membuktikannya di atas kertas undi. Setiap negara sebenarnya tidak dapat lari daripada masalah.

Tetapi setiap negara juga perlulah tahu bagaimana cara dapat menangani permasalahan tersebut. Sewajarnya campur tangan negara lain dalam urusan dalaman sesebuah negara bukanlah sesuatu yang perlu diterima, daripada mendamaikan, ia menjadikan negara itu lebih teruk.

Selain itu, ‘budaya’ menyelesaikan masalah dengan diplomasi dan rundingan adalah sesuatu yang biasa, supaya dunia ini cerah tanpa dentuman bom dan peluru berpandu yang tersebar. Begitu juga kerajaan yang mementingkan diri sendiri. Nampaknya seakan tidak ada apa-apa, tetapi sebenarnya ini adalah sumber kepada kehancuran sesebuah negara.

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast