Kilang AstraZeneca di Sweden. foto Agensi

 

LONDON – Kesatuan Eropah (EU) menyaman pengeluar vaksin AstraZeneca kerana tidak menghormati kontrak bekalan dan tidak mempunyai perancangan yang boleh dipercayai bagi penghantaran tepat.

Tindakan itu dengan sokongan kesemua 27 buah negara.

Bagaimanapun, AstraZeneca berkata, tindakan itu dibuat tanpa merit dan akan mempertahankan kedudukannya di mahkamah.

Tindakan undang-undang itu bakal meningkatkan perselisihan yang berlanjutan antara kedua-dua pihak dalam penyediaan vaksin koronavirus.

Sebilangan anggota kumpulan itu mendakwa AstraZeneca telah memberi layanan istimewa kepada United Kingdom tetapi syarikat itu telah menolak dakwaan tersebut.

Sementara itu, Amerika Syarikat mendakwa ia akan berkongsi sehingga 60 juta dos vaksin AstraZeneca dengan negara lain apabila bekalan tersedia.

Dos akan dapat dieksport dalam beberapa bulan akan datang setelah kajian keselamatan persekutuan, lapor agensi berita AP.

Pertikaian mengenai bekalan bermula sejak kesepakatan yang ditandatangani oleh EU pada Ogos tahun lallu untuk 300 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca, dengan pilihan untuk 100 juta lagi.

Bagaimanapun padaa awal tahun ini, AstraZeneca mengatakan bekalannya berkurangan kerana masalah pengeluaran.

Daripada 80 juta dos yang dirancang untuk penghantaran pada suku pertama 2021, hanya sekitar 30 juta yang dihantar.

Menurut EU, syarikat itu akan menyediakan 70 juta dos pada suku kedua 2021 dan bukannya 180 juta seperti yang dirancangkan.

“Syarat kontrak, atau beberapa syarat kontrak, tidak dipatuhi. Kami ingin memastikan ada pengiriman cepat sejumlah dos yang mencukupi … yang telah dijanjikan berdasarkan kontrak,” kata EU.

Pesuruhjaya Kesihatan Stella Kyriakides menerusi ciapannya berkata, keutamaan EU memastikan pemberian vaksin Covid-19 untuk melindungi kesihatan kesatuan itu.

“Setiap dos vaksin dikira. Setiap dos vaksin menyelamatkan nyawa,” tulisnya.

Seorang pegawai EU memberitahu agensi berita Reuters bahawa langkah itu diambil untuk “mengirim mesej” kepada ketua eksekutif AstraZeneca, Pascal Soriot.

Dalam kenyataan bagi menjawab pengumuman itu, AstraZeneca mengatakan pihaknya telah “mematuhi sepenuhnya” perjanjiannya dengan EU dan berharap dapat menyelesaikan perselisihan itu secepat mungkin.

“Susulan penemuan saintifik yang belum pernah terjadi sebelum ini, rundingan yang sangat rumit dan cabaran pembuatan, syarikat kami akan memberikan hampir 50 juta dos ke negara-negara Eropah pada akhir bulan April, selari dengan unjuran kami.

“Kami membuat kemajuan dalam menangani cabaran teknikal dan output kami bertambah baik, tetapi kitaran pengeluaran vaksin sangat panjang yang bermaksud peningkatan ini memerlukan waktu untuk menghasilkan peningkatan dos vaksin,” kata syarikat Britain-Sweden itu,

Malah, AstraZeneca sebelumnya mengatakan kontrak tersebut mewajibkan syarikat untuk melakukan “usaha terbaik”. – MalaysiaGazette