Datuk Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Budaya gangguan seksual hendaklah dihentikan serta-merta bermula dari peringkat sekolah dan sistem pendidikan di negara ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sudah tiba masanya Malaysia sifar gangguan seksual kerana ia boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman yang masih berakar-umbi dalam kalangan masyarakat kita.

“Budaya ini perlu dititknoktahkan. Kementerian Pendidikan perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang memandang ringan kejadian seperti ini termasuk guru yang menggunakan gurauan seks dalam mana-mana proses pengajaran dan pembelajaran.

“Budaya yang mendiskriminasikan wanita dan perempuan perlu dikikis daripada sistem pendidikan kita. Tanpa tindakan yang tegas, perkara seperti ini akan berulang tanpa henti dan mungkin menjadi lebih parah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Norliza, Pergerakan Wanita UMNO dan Wanita BN Pulau Pinang bertegas Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan yang wajar berhubung isu gurauan seksual seorang guru jasmani yang mempersendakan jenayah seks dalam kelas.

“Kami mahu tindakan segera diambil pihak Kementerian Pendidikan dan pihak Polis DiRaja Malaysia,” ujarnya.

Kenyataan Menteri Pendidikan bahawa perkara ini dalam siasatan polis dan enggan mengulas seolah-olah mencuci tangan  sedangkan kementerian terbabit mempunyai kuasa untuk mengenakan gukuman disiplin terhadap guru terbabit bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

“Kami juga mengulangi kekesalan terhadap perkara ini dan berdiri teguh bersama pelajar perempuan yang terlibat dan berani tampil untuk menegakkan martabat wanita.

“Sekiranya perlu, kami sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar yang telah mengalami gangguan emosi dan trauma akibat kejadian gangguan seksual yang dianggap tidak masuk akal dalam budaya kita yang mengamalkan amalan Rukun Negara di negara ini.

“Gurauan yang membawa unsur seks tidak sama sekali boleh dibenarkan dalam sistem pendidikan kita, lebih-lebih lagi antara guru dan pelajar di dalam waktu pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak harus membiarkan kejadian seperti ini berulang di mana-mana institusi pendidikan kita,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast