KUALA LUMPUR – Walaupun bukan bidang kuasanya untuk menentukan atau mengurangkan jumlah kompaun mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) namun denda sebanyak RM50,000 yang dikenakan ke atas seorang penjual Burger di Kota Bharu adalah terlalu tinggi.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penguatkuasaannya bawah bidang kuasa polis manakala rayuan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tadi saya lihat sendiri Menteri Undang-Undang memberikan penjelasan bahawa saman RM50,000 itu adalah keterlaluan. Lagipun jumlah itu mengikut ordinan adalah lebih kepada syarikat.
“Perkara ini sedang di ambil tindakan oleh KKM jadi kita tunggulah pengumuman secara rasmi dari mereka dalam masa terdekat. Tapi bagi diri saya, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, hukuman ini terlalu tinggi.
“Tetapi pesalah masih boleh merayu kepada KKM lagi,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, dikenakan kompaun RM50,000 oleh polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu yang ditetapkan.
Dia yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kelantan memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam, Ahad lalu.
Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – MalaysiaGazette