Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas sebanbyak 27 tan lobak merah segar yang dibawa masuk dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.

JOHOR BAHRU- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas sebanbyak 27 tan lobak merah segar yang dibawa masuk dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim dalam kenyataannya memberitahu, rampasan pukul 9.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa jabatan terbabit yang melakukan pemeriksaan rutin.

Hasil pemeriksaan mendapati maklumat pada label lobak merah dianggarkan bernilai RM75,800.88  tidak sama seperti yang diikrarkan dalam sijil perakuan dikemukakan sebelum barangan ditahan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan mengelirukan pihak berkuasa.

Hizzuan berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Semua pengimport dan pengeksport dinasihatkan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast